Search This Blog

Thursday, August 11, 2011

Anak hilang sejak dua bulan lalu

BALIK PULAU: Seorang ibu tunggal merayu anak sulungnya kembali ke pangkuannya selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Kongsi, di sini sejak dua bulan lalu. Ibu berkenaan, Maimunah Ibrahim, 58, bimbang keselamatan anaknya, Muhamad Azrie Abu Bakar, 29, yang menghilangkan diri sejak berhenti kerja sebagai operator pengeluaran di Zon Perdagangan Bebas (FIZ) Bayan Lepas. Katanya, anaknya itu tinggal berasingan sejak enam bulan lalu dan menyewa dengan rakannya di Kampung Kastam, Gelugor. “Walaupun tinggal menyewa, setiap seminggu atau dua minggu sekali, anak saya itu akan pulang ke rumah menjenguk saya. “Azrie anak yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah malah hubungan kekeluargaan antara kami juga baik,” katanya di sini semalam. Beliau berkata, pada 30 Jun lalu, anaknya itu ada menghubunginya dan menyatakan hasrat berhenti kerja dan kembali tinggal bersamanya di kampung. “Anak saya itu mahu bekerja semula sebagai pembaik pulih sistem pendawaian elektrik dan berjanji pulang ke rumah keesokan hari. “Seharian saya menunggu, Azrie tidak juga pulang dan sejak itu, telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi dan saya bimbangkan keselamatannya,” katanya yang sudah puas berikhtiar termasuk melakukan solat hajat dan mencari di beberapa kawasan namun menemui jalan buntu. Maimunah turut mencari di rumah sewa anaknya namun dimaklumkan anaknya sudah berhenti kerja dan membawa semua barangan miliknya. Beliau berkata, anaknya itu ada menghubungi anak saudaranya melalui laman sosial facebook dan meminta menyampaikan pesan kepadanya yang menyatakan dia sedang berkursus di Tanjung Malim, Perak. “Bagaimanapun, anak saya tidak membalas pesanan yang ditinggalkan sepupunya hingga kini. “Saya merayu jika ada kenalan pernah berhubung atau menemui Muhamad Azrie dapat menghubungi saya di talian 019-9848099,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada 12 Julai lalu.hmetro

No comments:

Post a Comment