Search This Blog

Thursday, August 11, 2011

Amar penyamar licik, mahir: Polis

KUALA LUMPUR – Siasatan polis mendapati lelaki ditahan kelmarin kerana menyamar sebagai wartawan Sinar Harian, seorang yang sangat licik dan mahir melakukan penyamaran secara bersendirian sehingga orang lain tidak menyedari sikapnya.

Selain ghairah untuk mendampingi golongan artis, suspek dikenali sebagai Amar @ Jihan, 22, itu didapati menyamar sebagai wartawan hiburan untuk menjual bahan berita yang diperolehnya kepada mana-mana syarikat penerbitan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, suspek bijak mengatur strateginya hingga berjaya menipu bukan sahaja para artis tetapi pihak–pihak lain yang terlibat.

“Siasatan polis mendapati, dia mahu jual berita dan gambar kepada mana-mana syarikat penerbitan yang menawarkan harga lebih tinggi.

“Suspek bertindak menempah tempat eksklusif untuk sesi fotografi seperti di Saloma Bistro untuk mengaburi mata artis selain menggunakan kepala surat :Sinar Harian: bagi meyakinkan mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang pernah terlibat bersama Sinar Harian dahulu membolehkan dia melakukan penyamaran dengan mudah kerana tahu sedikit sebanyak selok-belok di Sinar Harian.

Dalam kes kelmarin, suspek menjadikan empat artis iaitu Nubhan, Farawahida, Man Kidal dan seorang artis baru, Firdaus sebagai mangsa kerana percaya mereka mempunyai ramai peminat.

Selain rahsia penyamaran itu terbongkar, Amar ialah pemegang Diploma Syariah Undang-Undang di sebuah kolej swasta di Pahang dan pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah kelab golf di Bangi. Dia sememangnya meminati bidang kewartawanan tetapi kerana lebih cenderung ke arah bidang masakan maka dia memilih menjadi tukang masak.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan Amar diberkas ketika sedang mengendalikan sesi fotografi palsu melibatkan sekumpulan artis terkenal kononnya diadakan untuk terbitan khas Sinar Harian sempena Aidilfitri di Saloma Bistro, Jalan Ampang.

Dia ditahan reman sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Zahedi meminta mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa Amar supaya tampil menyalurkan maklumat di talian 03-55202009 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana penyamaran tersebut.-SH

No comments:

Post a Comment