Search This Blog

Tuesday, August 9, 2011

‘Acu pistol ke mulut’

SHAH ALAM: Pekerja ladang, T Thilaiyalagan yang juga tertuduh kedua dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain mendakwa pihak polis memaksa, mengugut dan memukulnya sepanjang ditahan reman berhubung siasatan kes itu, tahun lalu.
Dia mendakwa, Pegawai Penyiasat Cif Inspektor N Govindan, 45, dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ada mengacukan pistol ke mulutnya sebelum menendangnya dan mencubit pada bahagian kemaluan, selain diarahkan melutut sebelum disepak di dada.
Malah, Thilaiyalagan, 20, mendakwa ada dimaki dengan kata-kata kesat, ada kalanya tidak diberikan makanan dan apabila mengadu lapar, polis mengarahkannya memakan cili padi.

Lelaki itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguamnya, Gurbachan Singh pada bicara dalam bicara kes bunuh Sosilawati dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Sebelum ini, Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan bicara dalam bicara itu diadakan bagi menyiasat sama ada Thilaiyalagan menerima tekanan dalam memberi kenyataan kepada polis berhubung penemuan bahan bukti dalam kes itu.

Menurut Thilaiyalagan, dia dipukul polis dalam keadaan tangannya bergari pada sesi soal siasat sepanjang empat jam setengah di sebuah balai polis, pada 11 September tahun lalu.

GURBACHAN: Bagaimana pihak polis menyoal siasat kamu?

THILAIYALAGAN: Mereka pukul saya.

GURBACHAN: Siapa mereka?

THILAIYALAGAN: Govindan dan (seorang lagi anggota polis) N Thiagarajan.

GURBACHAN: Apa berlaku selepas mereka pukul kamu?

THILAIYALAGAN: Govindan acukan pistol ke mulut saya.

GURBACHAN: Ada Govindan kata apa-apa ketika dia masukkan pistol ke dalam mulut kamu?

THILAIYALAGAN: Govindan arahkan saya beritahu jawapan yang dia mahu.

GURBACHAN: Apa Govindan cakap?

THILAIYALAGAN: Saya diarahkan beritahu yang saya bunuh semua empat orang itu. Saya tidak mengaku.

GURBACHAN: Apa cara lain mereka gunakan untuk memukul kamu?

THILAIYALAGAN: Mereka tendang kemaluan saya.

GURBACHAN: Adakah ia teruk?

THILAIYALAGAN: Teruk.

GURBACHAN: Ada apa lagi mereka lakukan?

THILAIYALAGAN: Saya diarahkan melutut, Govindan sepak dada saya.

GURBACHAN: Berapa kali dia sepak?

THILAIYALAGAN: Banyak kali.

Thilaiyalagan berkata, dia kemudian dibawa ke bilik kedua di balai polis itu dan pihak polis sekali lagi memegangnya dan memasukkan pistol ke dalam mulutnya.

Sepanjang soal siasat itu, katanya, dia hanya diberikan minuman tanpa diberi makan.

Menurutnya, dia dibawa oleh polis ke ladang tempatnya bekerja di Tanjung Sepat dan ke sebatang sungai di Banting, masing-masing pada 12 dan 13 September 2010.

Thilaiyalagan berkata, Govindan memaksanya untuk pergi ke sungai berkenaan dan mengugutnya akan ditembak jika tidak mengikut arahan.

“Tiba di sungai itu, Govindan pegang leher saya dan saya diarahkan untuk menuding jari untuk tujuan ambil gambar,” katanya.

Dia mendakwa turut dibawa ke sebatang sungai yang lain di satu kawasan di USJ (Subang Jaya) pada 14 September 2010.

Lelaki itu berkata, proses soal siasat yang teruk itu menyebabkan dia menjadi takut dan ada membuat dua laporan polis berhubung kejadian itu.
Perbicaraan bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment