Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Warga asing maut



BANDAR PEKAN – Seorang lelaki warganegara Indonesia pecah kepala selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 48, Jalan Kuantan-Segamat, kelmarin.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, mangsa berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki dari arah Kuantan menuju ke Kota Perdana.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada mangsa yang secara tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kanan jalan.

Menurutnya, pemandu kereta yang terkejut tidak sempat memberhentikan kenderaannya dan cuba mengelak ke sebelah kiri jalan, sebelum terlanggar motosikal mangsa.

“Mangsa yang dikenali sebagai Abdul Ghafur, 40, disahkan mati serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan sebelum dituntut keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sehubungan itu, Yahaya mengingatkan orang ramai supaya mengambil iktibar daripada kejadian itu.

“Pengguna jalan diminta tidak menunggang motosikal secara melulu atau memandu ketika keadaan fizikal diri tidak mengizinkan seperti berada dalam keadaan mengantuk atau tidak sihat.

“Kepekaan kita terhadap amalan berhemah dapat mewujudkan persekitaran selamat bagi diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment