Search This Blog

Saturday, July 2, 2011

Tiga ditahan berhubung Bersih



SEREMBAN - Seorang lelaki ditahan polis kerana didapati mengedarkan risalah berhubung perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di perkarangan Masjid Jamek Datuk Klana Petra Sendeng, Ampangan dekat sini, selepas solat Jumaat, semalam.

Lelaki berumur 27 tahun itu dikatakan berbuat demikian pada perhimpunan aman disertai kira-kira 100 jemaah bagi membantah tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menamatkan perkhidmatan Imam 1 masjid berkenaan, Norazman Mohamad, berkuat kuasa semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Deputi Superintendan Ramlan Abd Razak berkata, penahanan lelaki terbabit dibuat kira-kira 2.05 petang.

“Pemerhatian pihak polis mendapati lelaki itu mengedar risalah perhimpunan Bersih dan kita merampas sebanyak 150 risalah sama di sekitar masjid berkenaan.

“Dia kemudian dibebaskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, sebanyak 87 risalah berkaitan perhimpunan Bersih dirampas di luar pintu utama sebuah masjid di Sikamat.

Sementara itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang ditahan polis selepas menghadiri majlis makan malam anjuran DAP di sekitar Titi, Jelebu, malam kelmarin.

ADUN Lukut, Ean Yong Ting Sin dan ADUN Bahau, Teo Kok Seong dipercayai memakai kemeja T Bersih berwarna kuning semasa dibawa ke Balai Polis Titi dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusoff ketika mengesahkan penahanan itu berkata, dua ADUN terbabit disiasat di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.
SH

No comments:

Post a Comment