Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Suami isteri dicekup edar dadah



BERA – Seorang wanita lima anak dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadah di sekitar Felda Gugusan Bera ditahan polis di rumahnya dekat Kerayong, kelmarin.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan jam 12.45 tengahari di sebuah rumah kos rendah di Taman Kerayong Makmur dan dipercayai menjadikan rumahnya sendiri sebagai tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 28.0 gram dan syabu (3.5 gram) yang dianggarkan bernilai RM3,500.

Menurutnya, dadah yang dirampas itu adalah dalam bentuk 17 peket heroin dan keratan tiub straw iaitu sebanyak 11 (heroin) dan 24 (syabu).

“Ketika serbuan, wanita tersebut berada di ruang tamu rumahnya sambil memegang sebuah beg berwarna coklat yang berisi dua jenis dadah dan wang tunai hasil jualan dadah tersebut.

“Bagaimanapun, pada waktu sama juga, hanya empat anaknya berada di bilik rumah itu sementara suaminya berada di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Bera, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, ASP Hashim Ya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Chief Inspektor Zahari Mohamed Noor.

Mohd Zahid berkata, berdasarkan siasatan polis, wanita tersebut dipercayai mula mengedarkan dadah pada awal Jun lalu.

Katanya, suspek menghubungi penagih lama dan baru menggunakan telefon bimbitnya sementara penghantaran dilakukan menggunakan kenderaannya sendiri.

“Ujian saringan awal pihak polis terhadap suspek adalah negatif terhadap sebarang penggunaan dadah, dan suspek juga tidak pernak mempunai rekod jenayah lampau,” kata beliau.

Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 39 (B) dan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara suaminya turut ditahan di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.
SH

No comments:

Post a Comment