Kejayaan itu hasil penangkapan seorang suspek remaja berusia 16 tahun oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya kira-kira pukul 10 malam ketika sedang berlegar-legar 100 meter dari kilang tersebut.
Siasatan polis mendapati, sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan kecurian barangan besi dan aluminium bernilai RM200,000 di sebuah kilang berhampiran pada 4 Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, siasatan juga mendapati, suspek bertindak secara berkumpulan bersama tiga rakannya yang masih bebas.
Beliau memberitahu, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya menahan empat lagi lelaki berusia 16 hingga 43 tahun yang terdiri daripada pengusaha dan pekerja premis barangan lusuh berhampiran tempat kejadian.
"Suspek mengaku mencuri 25 kotak berisi 275 aluminium 'magazine' yang ditemui dalam kenderaannya dengan cara memanjat tembok stor serta memotong pagar dawai belakang kilang terbabit.
"Kesemua kotak tersebut dibawa keluar menggunakan motosikal yang diangkut sedikit demi sedikit. Malah, semua barang dicuri dijual kepada premis barangan lusuh tanpa lesen di Batu Maung pada harga RM1,190," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Fah Hin memberitahu, polis berjaya menemui semula 262 keping aluminium 'magazine' di premis barangan lusuh itu selain merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.
"Harga pasaran bagi aluminium magazine adalah RM120 setiap keping dan produk kilang tersebut diproses untuk dieksport ke luar negara," katanya.
Beliau memberitahu, suspek direman empat hari mulai semalam dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala empat pekerja serta pengusaha premis barangan lusuh terbabit disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu memiliki barangan curi.
No comments:
Post a Comment