Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Seorang anggota Rela hampir ditikam penyamun



IPOH – Ketangkasan lima anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) berjaya menahan seorang daripada dua penyamun yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Persiaran Pasir Puteh, Taman Shatin, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun, salah seorang daripada anggota Rela terbabit hampir dicederakan penyamun yang cuba menikamnya dengan pemotong dawai dan playar ketika mereka bergelut antara satu sama lain.

Kehadiran kedua-dua penyamun itu disedari lima anggota itu ketika sedang melakukan rondaan di kawasan taman berkenaan.

Dua penyamun dalam lingkungan 30-an itu disergah anggota Rela berkenaan menyebabkan mereka panik dan cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan di luar pagar.

Namun salah seorang daripada penyamun terbabit gagal meloloskan diri menyebabkan dia dicekup dan kemudian di bawa ke Balai Pasir Puteh untuk siasatan lanjut.

Ketua Seksyen Rela Taman Melur dan Taman Shatin, C Y Chan berkata, beliau bersama empat rakan sekerjanya sedang melakukan rondaan rutin bermula.

Kira-kira jam 2.15 petang semalam di taman berkenaan sebelum terserempak dengan dua lelaki yang sedang memanjat pagar sebuah rumah.

Katanya, dengan pantas beliau menyergah dua lelaki berkenaan sehingga menyebabkan mereka panik dan cuba melarikan diri.

“Saya berjaya mencekup salah seorang daripada mereka manakala, seorang lagi berjaya melarikan diri dipercayai menuju ke jalan utama Pasir Puteh-Ipoh.

“Sebaik dicekup, suspek berkenaan yang masih memegang playar dan pemotong dawai cuba mencederakannya namun, saya berjaya mengelak,” katanya.

Beliau berkata dengan bantuan empat rakan sekerja lain, suspek berjaya ditangkap sebelum menghubungi polis.

Dalam perkembangan sama, Ketua Perhubungan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Mukim Kinta Utara, Chang Kok Aun berkata, beliau sentiasa mengarahkan anggotanya untuk melakukan rondaan rutin di kawasan perumahan berkenaan.
SH

No comments:

Post a Comment