Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Rumah 2 beranak hangus



CHERAS – Dua beranak hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di unit Perumahan Awam (PR) Seri Johor terbakar dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketika kejadian, Chua Kim Kwan, 47, keluar bekerja manakala ibunya, Soo King In, 72, juga tidak berada di rumah kerana keluar ke pasar.

Kim Kwan berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada rakannya sebelum bergegas balik ke rumah.

“Saya tidak tahu macam mana kejadian ini berlaku, tetapi saya ada tinggalkan api kecil yang menyala di tempat sembahyang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dia yang sudah lebih 20 tahun menetap di rumah tersebut masih tidak dapat memastikan jumlah kerugian yang ditanggung daripada kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bandar Tun Razak, Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, pihaknya juga mendapat bantuan daripada Balai Polis Pudu dengan jumlah anggota seramai 17 orang.

“Punca kebakaran masih disiasat dan kita menolak sebarang unsur jenayah kerana ketika tiba, didapati pintu pagar berkunci,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan yang tiba melawat tempat kejadian berkata, pihaknya akan mengusahakan sebarang bantuan yang diperlukan oleh mangsa.

“Daripada maklum balas awal, mangsa tidak mahu ditawarkan ke unit lain walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai peruntukan terbabit kerana mereka akan tinggal bersama saudara terdekat sementara rumah dibaiki,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment