Search This Blog

Loading...

Tuesday, July 19, 2011

Rayuan Kamariah ditolak

PUTRAJAYA: Permohonan pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang juga bekas ustazah, Kamariah Ali, 60, untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan mengenai hak dan kebebasan beragama ditolak oleh Mahkamah Rayuan, di sini, semalam.

Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Datuk Clement Allan Skinner sebulat suara menolak permohonan Kamariah selepas mendapati kes berkenaan adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Sivil. “Persoalan yang dikemukakan oleh plaintif adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukannya di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. “Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 121(1A) memperuntukkan Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa dalam sebarang perkara yang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya. Bagaimanapun, Kamariah tidak hadir ketika prosiding berlangsung dan hanya diwakili peguamnya, Malik Imtiaz Sarwar.


Sementara, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Kerajaan Negeri Terengganu yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua diwakili peguam, Datuk Zamani Mohamad. Hadir sama, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara selaku pencelah dalam permohonan itu. Pada 30 Disember 2005, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kamariah untuk merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan menyebabkan dia memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Hakim Datuk Mohd Raus Sharif menolak permohonan Kamariah selepas mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya ketika mengendalikan kes terbabit. Persoalan yang dibangkitkan adalah mengenai hak untuk menganuti mana-mana agama mengikut Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang beragama Islam yang sudah mencapai umur majoriti untuk keluar daripada agamanya.

Pada 3 Mac 2008, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas lulusan Universiti Al-Azhar itu selepas didapati bersalah atas tuduhan murtad.

myMetro | Rayuan Kamariah ditolak

No comments:

Post a Comment