Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

Penjual karipap samun pelajar dipenjara lima tahun

KUANTAN: “Kesalahan kamu menyamun di stesen bas dikategorikan sebagai jenayah jalanan dan ia serius kerana membabitkan keselamatan awam. Oleh itu, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman sewajarnya untuk membendung jenayah sama berulang,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Noradidah Ahmad, ketika mengenakan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang penjual karipap, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Hayyum Qayyum Mohd Rosdi, 21, dari Kampung Baru, di sini, mengaku salah atas dakwaan melakukan samun terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun dengan merampas wang tunai bernilai RM50 di stesen bas awam, Jalan Pasar, di sini, jam 8.40 malam, 1 Julai lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama rakannya ketika berada di stesen bas itu tiba-tiba dihampiri tertuduh yang meminta wang. Ketika mangsa mengeluarkan dompetnya, tertuduh terus merampas dompet itu dan mengambil wang RM50.


Mangsa merayu tertuduh supaya mengembalikan wang itu, sebaliknya dia mengacu pisau ke arah mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian. Rakan mangsa kemudian menghubungi polis sebelum tertuduh diberkas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.


Tertuduh merayu mahkamah meringankan hukuman dikenakan terhadapnya dengan alasan membiayai persekolahan seorang adiknya, manakala ketika kejadian dia tidak berniaga.

“Saya mohon mahkamah mengenakan pengawasan terhadap saya dan jika mahu dipenjarakan saya minta tiga tahun kerana menanggung seorang adik yang masih bersekolah,” katanya.


Dalam penghakimannya, Noradidah berkata, walaupun kesalahan itu serius namun mahkamah mengambil kira pengakuan salah dibuat tertuduh kerana menjimatkan masa dan tidak perlu memanggil saksi.

Menurutnya, tertuduh juga didapati tidak ada rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencingnya menunjukkan negatif selain jenayah samun dilakukan itu kesalahan pertamanya.

myMetro | Penjual karipap samun pelajar dipenjara lima tahun

No comments:

Post a Comment