Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Peniaga patah tulang pinggang



KUALA KUBU BHARU – Seorang peniaga tidak menyangka kemalangan yang menimpanya Jun lalu menyebabkan tulang pinggangnya patah dan mungkin berdepan dengan kecacatan kekal.

Muhammad Diah Hamidon, 32, yang kini terlantar di Hospital Selayang tetap reda dengan ketentuan Ilahi, namun masih berharap dia pulih sepenuhnya.

“Kejadian berlaku ketika saya pulang dari Rawang ke Kerling dan ketika itu memandu berseorangan.

“Setibanya di persimpangan Taman Melati, Serendah, sebuah lori tiba-tiba meluru keluar dan merempuh kereta saya menyebabkan kereta terseret ke laluan bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Tautan Kasih bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali di Hospital Selayang, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku pada waktu siang dan lori itu dikatakan teragak-agak ketika mahu keluar dari persimpangan berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia gagal mengelak lalu dirempuh dari sebelah kiri kenderaan jenis Perodua Viva yang dinaiki.

Muhammad Diah berkata, hingga kini dia telah melalui beberapa proses rawatan termasuk memasukkan besi menggantikan tulang yang patah.

Katanya, sebagai persediaan dia memohon bantuan kerusi roda daripada ADUN, Datuk Mohd Isa Abu Kasim untuk kegunaannya sebaik dibenarkan keluar.

Sementara itu, Mohd Isa berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk membantu mendapatkan kerusi roda berkenaan tetapi perlu menunggu sehingga pesakit keluar dari hospital.

Menurutnya, setakat ini permohonan masih belum boleh dibuat memandangkan keadaan fizikal pesakit yang belum dapat dipastikan.

:“Saya difahamkan pesakit masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian menimpanya dan kita nasihatkannya supaya berbuat demikian.

“Laporan polis akan bantu pesakit membuat tuntutan termasuk memudahkan permohonan bantuannya nanti,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment