Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Pencuri larikan Proton Satria



TAMAN PATANI JAYA – Sebuah keluarga di sini mengalami kerugian RM15,000 dalam satu kejadian curi melibatkan kehilangan barangan berharga termasuk komputer peribadi, telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Satria milik mangsa.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Teh, 40-an, berkata, dipercayai dua pencuri cuba menyelinap masuk ke dalam rumahnya antara jam 2.30 hingga 6.30 pagi kelmarin ketika dia bersama isteri dan dua anak sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumah.

“Mereka bertindak melompat pintu pagar dan memotong ruang kunci pintu gerigi besi sebelum cuba masuk dan mengejutkan pembantu rumah yang dikenali sebagai Yati, 25, yang tidur dalam bilik di tingkat bawah,” katanya.

Teh berkata, Yati yang sudah berkhidmat dengan keluarga berkenaan lebih empat tahun, tidak menyangka pintu bilik diketuk oleh suspek dan terus membuka sebelum diacu sebilah pisau di leher dengan isyarat memintanya berdiam diri.

Menurutnya, semua bahagian dalam rumah digeledah dan suspek juga sempat masuk ke dalam bilik tidur mereka dan melarikan beg tangan yang berisi wang tunai selain komputer peribadi, tiga kamera dan empat telefon bimbit.

“Pencuri berkenaan juga berjaya menjumpai kunci kereta Proton Satria dan turut melarikan kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, disebabkan leka membuat kerja pada malam kejadian, Teh hanya masuk tidur pada jam 2.30 pagi dan tidak menyedari langsung mengenai kejadian itu sehinggalah bangun semula pada jam 6.30 pagi sebelum diceritakan Yati.

“Yati yang terkejut dengan insiden berkenaan langsung tidak keluar dari biliknya sehinggalah kami sekeluarga menjumpainya dalam keadaan ketakutan dan menyembunyikan diri,” katanya.

Bagaimanapun dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran.
SH

No comments:

Post a Comment