Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Pemandu lori bakal digantung

Memo Editor


KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan mengedar heroin seberat 23.0 gram pada 1 Julai lalu.

Tertuduh, Maliki Ismail, 48, dari Kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama.

Mengikut kertas pertudu-han, tertuduh pada 1 Julai lalu jam 10.10 malam bertempat di tepi pondok pengawal Kesihatan Batu Rakit, Kuala Terengganu telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 23.0 gram.

Tertuduh ditangkap oleh Unit Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu melalui penyamaran ketika tertuduh dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Tertuduh, duda kepada lima anak itu dibawa ke balai polis IPK Terengganu selepas polis menjumpai sebanyak lima botol serbuk putih jenis heroin yang disorokkan dalam satu beg pinggang yang dipakainya.

Tertuduh turut didapati positif saringan awal ujian air kencing dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan heroin semasa ditahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Masriwani Mahmud @ Mamat dihadapan hakim Noradila Ab. Latif dan menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Manakala di mahkamah yang sama, seorang nelayan turut berhadapan nasib sama jika disabitkan kesalahan selepas didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 75.0 gram juga pada 1 Julai lalu.

Tertuduh, Mohamed Nasir Abdul Ghani, 28, dari kampung Baru, Seberang Takir didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum gantung sampai mati itu di bawah garaj belakang rumah bernombor 6053 Kampung Baru Seberang Takir kira-kira jam 4.45 pagi.

Noradila menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
SH

No comments:

Post a Comment