Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Panik pasar raya terbakar



TANJUNG GEMOK – Kira-kira 30 pekerja dan pelanggan yang menjalankan urusan jual beli di sebuah pasar raya, di sini, panik selepas mendapati tingkat tiga bangunan rumah kedai itu tiba-tiba terbakar.

Kejadian pada jam 8 malam itu disedari orang ramai yang berada di luar apabila mereka ternampak api tiba-tiba terpercik menerusi kabel elektrik tingkat tiga premis perniagaan itu hingga mengeluarkan asap.

Pengurus Besar pasar raya itu, Lim Teng Lai, berkata, ketika kejadian, dia sibuk menyemak stok barangan di premis itu sebelum dikejutkan suara riuh rendah pekerja dan pelanggan yang cemas.

“Saya terkejut dan panik apabila mendengar suara orang menjerit yang mengarahkan semua keluar kerana berlaku kebakaran di tingkat atas bangunan.

“Saya terus ke bahagian kaunter menuju pintu utama dan mendapati semua orang berpusu-pusu keluar dari premis ini untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Teng Lai berkata, dia juga terkejut apabila melihat kepulan asap pada bahagian dinding depan bangunan tingkat tiga mula merebak ke kawasan berhampiran.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata. Ia dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik atau ada gangguan haiwan seperti burung yang mungkin tersangkut pada kotak elektrik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Mohd Affandi Mansor berkata, kejadian itu hanya menyebabkan kebakaran pada bahagian papan tanda nama premis itu.

Menurutnya, anggota bomba Rompin tiba di lokasi kejadian pada jam 8.23 malam, namun sebaik sampai, kebakaran itu berjaya dipadamkan anggota Bomba dan Penyelamat Endau, Johor yang tiba lebih awal di lokasi kejadian.

“Anggaran jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment