Search This Blog

Tuesday, July 26, 2011

Nenek digilis dua penyamun


AMPANG: Seorang nenek patah tulang rusuk kiri selepas digilis tayar motosikal ditunggangi dua lelaki yang cuba menyamun rumahnya di Taman Muda, di sini, Sabtu lalu.
Lelaki terbabit bertindak demikian selepas terkejut apabila mendapati wanita berusia 60-an itu yang baru pulang dari kedai tiba-tiba muncul di rumahnya, kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun, lelaki terbabit mencuri 10 kepala paip tembaga dan tiga pemutar skru.

Menurut sumber, mangsa yang mengesyaki sesuatu sebaik melihat pintu pagar rumahnya terbuka dan terdapat sebuah motosikal di perkarangan rumahnya cuba melakukan pemeriksaan.

“Ketika itu muncul dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh datang dari arah belakang rumah dengan membawa kepala paip dan pemutar skru dianggarkan bernilai RM200.


“Mangsa menegur lelaki terbabit menyebabkan mereka terkejut,” katanya.

Beliau berkata, panik selepas melihat mangsa menyebabkan kedua-dua lelaki itu berlari ke arah motosikal dan menghidupkan enjin sebelum melanggar mangsa di hadapan mereka hingga terjatuh.

“Mangsa yang kesakitan menjerit meminta pertolongan menyebabkan lelaki terbabit yang bimbang kejadian itu disedari jiran menggilis kiri badan mangsa yang cuba menghalang laluan mereka.
“Selepas itu kedua-dua lelaki itu melarikan diri dan membiarkan mangsa kesakitan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa cuba bangun dan masuk ke dalam rumah sebelum menghubungi suaminya yang berada di luar kawasan.

Suami mangsa membawanya ke Hospital Ampang dan membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
myMetro | Nenek digilis dua penyamun

No comments:

Post a Comment