Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

Lemas dalam lubuk V

SEREMBAN: “Kami sangka dia hanya bergurau apabila mengangkat kedua-dua tangannya namun tidak sangka rupa-rupanya dia sedang lemas,” kata Jailani Jamari, 14, rakan mangsa lemas di Sungai Temiang di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Zulfadhli Zakaria, 16, terkorban akibat lemas ketika mandi di sungai berkenaan bersama tiga lagi rakannya.


Menceritakan detik cemas itu, Jailani berkata, mereka termasuk pasangan adik beradik, Mohd Iffendi Nor Azhar, 14, dan Mohd Fazil, 11, datang ke kawasan berkenaan dengan dua motosikal. “Ketika kejadian dia (mangsa) dilihat mengangkat kedua tangannya terkapai-kapai seolah-olah lemas namun kami beranggapan dia bergurau. “Bagaimanapun selepas beberapa minit, dia masih tidak timbul, saya mula tidak sedap hati lalu menjerit kepada dua rakan supaya membantu,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, mereka tidak berdaya melakukan apa-apa kerana tidak mahir berenang sebaliknya hanya mampu ke tebing sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami mengambil sebatang kayu panjang untuk menariknya namun dia tetap tenggelam ke dalam sungai. Kami kesal namun sudah tidak berguna,” katanya.


Mohd Iffendi yang pandai berenang juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus ketika itu kuat.


“Kami segera pergi ke rumah berhampiran meminta bantuan dan mayat mangsa ditemui tersekat di bawah batu besar,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Ungku Abd Jalil Ungku Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.20 petang.

“Seramai 10 anggota melalui sebuah jentera dikerah mencari dan menyelamat mangsa. Sejurus tiba, kita mendapati mayat mangsa sudah dibawa naik oleh orang awam.


“Siasatan awal mendapati lokasi mangsa lemas itu dipercayai lubuk yang agak dalam berbentuk V dan orang ramai dinasihatkan berwaspada ketika mandi kawasan terbabit,” katanya.

myMetro | Lemas dalam lubuk V

No comments:

Post a Comment