Search This Blog

Tuesday, July 19, 2011

Langgar empat palang tol

SERDANG: Seorang ahli geng curi kereta dan pecah rumah yang bergiat aktif di kawasan ini berjaya dicekup selepas kereta dinaikinya bersama seorang rakan lain dikejar sejauh kira-kira 30 kilometer oleh 15 kereta peronda polis dan satu unit MPV elit dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang serta Kajang, malam kelmarin.

Ketika kejadian, suspek yang berusia 30-an bersama seorang rakannya dikesan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Estima yang dipercayai dicuri daripada seorang wanita di kawasan perumahan Jalan Tempua, Puchong Jaya, kira-kira jam 9.40 malam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah (gambar), berkata hasil maklumat orang awam, sebuah kereta peronda dari Balai Polis Puchong Jaya bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

Sebaik dihampiri, suspek terus memecut menghala ke arah Lebuhraya LDP sebelum melanggar empat palang tol iaitu di Batu 14, Kajang, Sungai Ramal Barat dan Timur sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan lain di lebuh raya berkenaan.


“Pada masa sama, beberapa kereta peronda dari daerah Kajang dan Serdang yang dimaklumkan kejadian itu segera bertindak mengejar kereta suspek,” katanya.


Katanya, sebaik kereta suspek bergesel dengan sebuah kereta lain, suspek gagal mengawalnya menyebabkan kereta itu melanggar penghadang jalan di susur keluar Bandar Baru Bangi di Lebuhraya Kajang Silk berdekatan Sungai Ramal hingga menyebabkan tayar hadapan kereta bahagian pemandu tercabut.

“Tindakan pantas anggota peronda dari dua daerah itu berjaya menahan seorang daripada suspek sejurus keluar dari kenderaan yang terbabas itu, namun seorang lagi berjaya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

myMetro | Langgar empat palang tol

No comments:

Post a Comment