Search This Blog

Monday, July 25, 2011

Kontraktor, anak mati rempuh jentolak

MARANG 24 Julai - Seorang kontraktor dan anaknya berusia lapan tahun maut selepas kereta mereka terbabas dan melanggar belakang sebuah jentolak yang berhenti di tepi jalan di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Kampung Jambu Bongkok, dekat sini, semalam.
Mangsa, Wan Shaari Zakaria dan anaknya, Wan Shakisfri meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat cedera parah dalam kejadian pukul 5 petang.
Difahamkan, Wan Shaari dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Putih selepas membawa anaknya pergi ke kedai gunting rambut di bandar Dungun.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, setibanya di lokasi, kereta dipandu Wan Shaari dikatakan hilang kawalan dan terbabas.
"Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat. Polis masih menyiasat punca kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemandu jentolak itu, Mohd. Rowi Abu Bakar, 48, ketika ditemui hari ini berkata, dia berada di situ untuk menggali lubang bagi menanam kabel.
Katanya, selepas selesai kerja, dia memberhentikan jentolak itu di tepi jalan untuk mengambil duit sewa daripada seorang kontraktor.
"Tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum saya dapati sebuah kereta remuk di bahagian depan selepas merempuh belakang jentolak.
"Saya bersama beberapa rakan sekerja lalu menarik keluar kedua-dua mangsa ke tempat selamat kerana bimbang kereta terbakar," ujarnya.
Tambahnya, beberapa penduduk kampung turut menghulurkan bantuan namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment