Search This Blog

Loading...

Sunday, July 31, 2011

Kereta kena baling batu



TAMAN DELIMA – Bunyi letupan kuat secara tiba-tiba menyebabkan seorang pemandu kereta bersama isteri serta tiga anak yang dalam perjalanan menggunakan lebuh raya dari Sik ke Sungai Petani terkejut kerana risau memikirkan berlaku sesuatu ke atas kenderaan mereka itu yang boleh membahayakan nyawa.

Mangsa, Mohd Zabidi Md Zain, 52, dari Taman Delima Sungai Petani berkata, Ahad lalu semasa dia dan keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira jam 3 pagi, mendengar letupan kuat lalu segera memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan untuk membuat pemeriksaan sekiranya ada tayar yang pecah dan meletup.

“Walaupun memeriksa semua bahagian tayar, kami dapati tiada kerosakan dialami namun sebaik sahaja balik semula di tempat duduk, saya dapati cermin kereta retak dan berlubang sehingga serpihan kacanya bertaburan di merata tempat.

“Ada seorang penunggang motosikal datang membantu membersihkan kesan cermin pecah berkenaan yang bertaburan dan menasihati supaya teruskan perjalanan kerana bimbang ada niat jahat pihak tertentu bertujuan menyamun dan sebagainya.

“Kami teruskan perjalanan dan mengikut susur keluar tol Sungai Petani Utara sebelum singgah untuk meminta pertolongan abang ipar,” katanya.

Menurutnya, menyedari seketul batu besar ada dalam kereta, dia berasa ada individu tertentu yang berada atas jambatan di lebuh raya mencampakkannya.

Menurut Zabidi, dia sekali lagi terkejut apabila terlihat percikan darah di seluruh bahagian muka akibat terkena percikan kaca ketika ingin mencuci muka di perhentian tol berkenaan selain luka di lengan kiri dan terus mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim.

Katanya, akibat kejadian itu, dia terpaksa menerima rawatan di hospital dan sudah pun menerima rawatan susulan sebanyak empat kali bagi pembersihan kaca di bahagian mata.

Katanya, ketika kejadian isterinya turut menerima kesan apabila luka di bahagian lengan kanan manakala anaknya berusia 12 tahun luka di lutut.

“Namun mujur anak bongsu berusia empat tahun yang sedang tidur dipangku isteri tidak mengalami kecederaan dan anak perempuan berusia 20 tahun juga tidak alami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira lima kilometer sebelum sampai ke tol Sungai Petani Utara.

Bagaimanapun, katanya, laporan polis sudah dibuat olehnya.

Menurutnya, pendedahan itu dibuat adalah bertujuan supaya orang ramai yang melalui kawasan sama supaya berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang boleh mendatangkan bahaya.
http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment