Search This Blog

Friday, July 8, 2011

Kereta bertembung



ALOR GAJAH - Seorang lelaki nyaris maut apabila Perodua Alza yang dipandu bertembung dengan sebuah Proton Wira Aeroback di Jalan Kampung Gangsa, Durian Tunggal, dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.

:Dalam kejadian terbabit, pemandu Perodua Alza, Ahmad Sufian Mohd, 31, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Kenari Jaya menuju ke Hospital Melaka bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Ahmad Sufian berkata, dia memandu sendirian ke Hospital Melaka untuk melawat seorang rakan.

“Apabila sampai di jalan berbukit, tiba-tiba muncul sebuah kereta menyebabkan saya gagal mengelak.

“Saya tidak menyedari kereta yang datang dari arah bertentangan disebabkan jalan yang berbukit. Kereta saya hilang kawalan sehingga bertembung dengan kereta itu sebelum kereta saya berpusing beberapa kali dan menghala semua ke Durian Tunggal,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik tidak cedera parah disebabkan beg udara berfungsi.

“Kereta saya bergegar kuat sehingga menyebabkan tayar hadapan tercabut. Namun, saya bersyukur kerana selamat dan keluar sendiri dari kereta,” katanya.

Dalam keadaan yang masih terkejut, Ahmad Sufian berkata, dia segera turun dan melihat keadaan pemandu Proton Wira Aeroback yang bertembung dengannya.

“Pemandu itu sempat melompat ke tempat duduk sebelah pemandu untuk menyelamatkan diri.

“Keadaan keretanya menghala semula ke Melaka dan pemandu itu tersepit di tempat duduk sebelah pemandu. Orang awam yang berada di situ segera menghubungi pihak bomba dan penyelamat, ambulans serta anggota polis,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Ho Yew Meng berkata, anggotanya ada menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah malam sejurus berlakunya kejadian itu dan seramai enam anggota dengan satu jentera serta dua anggota unit kenderaan khas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati pemandu Proton Wira Aeroback tersepit sebelum anggota kami berjaya mengeluarkan mangsa kurang dari seminit selepas terdapat bahagian kereta yang terpaksa dipotong.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut sementara Ahmad Sufian hanya cedera ringan dan sakit di dada hanya menerima rawatan pesakit luar di klinik berdekatan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment