Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Kanak-kanak lemas



KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang sedang berkelah bersama keluarga di Air Terjun Lata Kertas, dekat Dabong, di sini, mati lemas ketika mandi di air terjun itu, petang kelmarin.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azmi Ibrahim berkata, mayat mangsa, Siti Nurwahyu Ghazali ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) atau Unit Skuba Bomba, jam 7.15 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian kira-kira jam dua petang dipercayai berlaku selepas mangsa tergelincir dan jatuh dari atas batu besar di kawasan air terjun itu.

”Mayat mangsa ditemui di lokasi dia dikatakan jatuh dalam keadaan tersangkut pada satu lubang yang terdapat di celah batu di dasar air terjun itu.

"Empat anggota PPDA yang melakukan operasi menyelam hanya mengambil masa kira-kira tiga minit sebelum menemui mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Azmi berkata, mayat mangsa yang beralamat di Kampung Dalam La, Meranto, Gua Musang dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dituntut oleh keluarga.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke tempat kejadian memandangkan kedudukan air terjun itu yang agak jauh iaitu kira-kira 12 kilometer dari pekan Dabong.

Katanya, selain empat anggota PPDA, seramai dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai dan sembilan anggota dari Gua Musang turut serta pada operasi mencari dan menyelamat mangsa.
SH

No comments:

Post a Comment