Search This Blog

Saturday, July 2, 2011

Kaki judi ditahan positif dadah



PETALING JAYA – Lima lelaki yang juga pelanggan tetap sebuah pusat siber judi di Sungai Way ditahan selepas pemeriksaan air kencing yang dijalankan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

Kesemua yang ditahan berusia awal 20-an dan 30-an itu mengaku terlibat dalam kegiatan tidak sihat itu selepas tertekan berikutan mengalami kekalahan teruk setiap kali bertaruh di pusat siber berkenaan.

Operasi bersepadu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPD Petaling Jaya dan AADK menyerbu tiga premis perjudian di sekitar kawasan itu.

Turut ditahan dalam operasi kelmarin ialah dua penjaga kaunter yang seorang daripadanya adalah warga emas berusia 75 tahun.

Pengarah Penguat Kuasa MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, sebanyak 29 set komputer disita MBPJ manakala 61 set lagi dirampas polis.

“Operasi dibuat bertujuan membanteras habis-habisan pusat yang tidak bermoral bagi mengelak orang ramai terjerumus ke kancah tidak sihat,” katanya.

Fauzi berkata, setakat ini pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan khususnya daripada kaum isteri yang rata-ratanya bimbang kewujudan pusat sedemikian boleh merosakkan suami mereka apabila sebahagian besarnya menghabiskan wang gaji mereka untuk berjudi

“Pintu utama di dua premis juga terpaksa dipecahkan berikutan keengganan penjaganya untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu seperti itu akan dilakukan dari masa ke semasa bagi mencegah kewujudan pusat berkenaan yang masih tidak serik untuk beroperasi meskipun sudah dikenakan banyak kali tindakan.

Dalam operasi sama, peralatan di sebuah hotel di PJS 8 turut disita kerana beroperasi tanpa lesen sah.
SH

No comments:

Post a Comment