Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Jerit sebelum ajal

SUNGAI PETANI: “Saya dan isteri terkejut apabila Che Su tiba-tiba menjerit memberitahu perut, dada dan tulang belakangnya sakit kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam), tetapi 30 minit kemudian dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.”

Begitu kata Md Isa Tahir, 54, bapa kepada seorang ibu tunggal yang meninggal dunia dipercayai selepas menelan pil untuk kelihatan lebih berisi yang dibeli dari sebuah kedai menjual ubat tradisional dan kosmetik di bandar ini, Khamis lalu.


Mangsa, Che Su Md Isa, 29, mati selepas seluruh tubuhnya tiba-tiba menjadi panas dan lumpuh ketika di rumahnya di Taman Arked, di sini, sebelum paramedik dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dipanggil bagi mendapatkan bantuan, namun gagal.

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu yang bekerja di sebuah kilang plastik di Kawasan Industri Bakar Arang, di sini, dipercayai menelan dua jenis pil mengandungi steroid pada Khamis lalu selepas membelinya dari kedai berkenaan.


Md Isa berkata, dia tidak menyedari anak perempuannya mengambil pil berkenaan, malah juga tidak dimaklumkan bahawa Che Su memakannya, tetapi terkejut apabila arwah mengadu sakit perut dan badan menjadi panas dan lumpuh seluruh tubuh pada malam kelmarin.


Menurutnya, dia hanya mengetahui kesengsaraan anaknya apabila pulang dari tempat kerja jam 7.30 malam selepas melihat isterinya menyapu tubuh anaknya dengan air.

Katanya, ketika itu isterinya mendapati badan Che Su semakin panas dan walaupun pelbagai cara diusahakan, keadaan panas masih tidak kurang, malah semakin teruk.



“Seluruh kaki dan tangannya juga lumpuh, dia tidak boleh bergerak. Namun jam 2 pagi (semalam) Che Su mengejutkan seluruh ahli keluarga apabila dia menjerit sambil mengadu sakit perut, dada serta tulang belakang.

“Keadaan menjadi semakin mendebarkan apabila setengah jam selepas itu dia terus senyap, malah ketika ambulans tiba untuk membawanya ke HSAH, Che Su disahkan meninggal dunia.


“Saya dan isteri juga terkejut apabila darah mula keluar dari lubang dubur Che Su dengan banyak, menyebabkan mereka terpaksa memakaikan lampin pakai buang bagi menahan darah keluar tanpa henti sebelum membawanya ke Jabatan Forensik HSAH,” katanya ketika ditemui, di sini.


Katanya, dia percaya anaknya mungkin memakan pil berkenaan di kilangnya pada malam Khamis lalu kerana ia hari terakhir bekerja syif malam, disebabkan Che Su tidak membawa pulang pil itu di rumah, menyebabkannya tidak menemuinya.


Sementara itu, adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Umi berkata, sebelum ini arwah kakaknya pernah menunjuk serta mengajaknya mencuba pil gemuk itu, namun dia enggan kerana pil itu pelik selain bimbang memudaratkan kesihatan.


Katanya, selepas itu dia tidak tahu sama ada kakaknya mengambil pil itu atau tidak, malah dia juga tidak tahu di mana kakaknya membeli pil terbabit hinggalah pagi semalam selepas rakan arwah memberitahu ia dibeli di sebuah kedai menjual ubat tradisional dan kosmetik di Sungai Petani.


“Menurut rakan kakak, tiga jenis pil berkenaan dibeli pada harga RM5 untuk satu set, tetapi saya tidak tahu berapa lama arwah mengambilnya kerana dia (Che Su) tidak pernah memberitahu kami sekeluarga.


“Saya tidak tahu kenapa kakak perlu mengambil pil berkenaan sedangkan badannya tidaklah terlalu kurus. Saya dan keluarga juga terkejut ketika dibedah siasat, darah di dalam tubuh kakaknya tiada dan hanya tinggal sedikit di dalam ususnya.


“Saya sedih dengan apa yang berlaku dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera,” katanya.


Dalam pada itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan melakukan siasatan dengan mengambil contoh pil berkenaan bagi dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis.


Tinjauan Metro Ahad juga mendapati kedai berkenaan yang menjual pelbagai ubat dan jamu tradisional serta kosmetik dari negara jiran, beroperasi sejak setahun lalu dan menjadi tumpuan golongan wanita tempatan dan warga asing.

myMetroJerit sebelum ajal

No comments:

Post a Comment