Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Enggan pindah selepas rumah terbakar

PETALING JAYA: “Saya baru hendak menjamah nasi berlauk ikan goreng untuk makan tengah hari sebelum terdengar jeritan jiran,” kata Ng, 78, mangsa kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah teres, di Seksyen 14/7, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Ng bersama rakan serumahnya Yap, 60, terkejut sebaik mendengar jeritan beberapa jiran supaya keluar kerana api marak.


“Saya terkejut lalu keluar menyelamatkan diri. Saya sedih kerana tiada apa mampu diselamatkan memandangkan saya cacat dan menggunakan tongkat untuk berjalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Biarpun rumah terbakar, Ng dan Yap enggan berpindah keluar dan mahu tinggal di sebuah bilik belakang yang terselamat daripada kebakaran.


Difahamkan, Ng tidak mahu meninggalkan rumah yang didiami lebih 20 tahun itu kerana itulah hartanya yang masih ada.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Esa Aini berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11 pagi sebelum sebuah jentera membabitkan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kami mendapatkan bantuan satu jentera membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat di Jalan Penchala.



“Punca kejadian masih dalam siasatan, namun kebakaran bermula dari rumah tengah yang 90 peratus hangus terbakar,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian penghuni rumah tengah berkenaan tidur manakala isteri dan seorang anaknya tiada di rumah.


Bagaimanapun, Esa berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 15 minit.


Katanya, jumlah kerugian dianggarkan lebih RM450,000 kerana membabitkan tiga rumah iaitu rumah kedua (Ng) 30 peratus terbakar dan rumah ketiga hanya 10 peratus terbakar.

myMetroEnggan pindah selepas rumah terbakar

No comments:

Post a Comment