Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Dua jam tawan ular terpanjang



KLANG – Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Selangor mengambil masa hampir dua jam ‘menjinakkan’ ular sawa sepanjang 6.3 meter yang ditemui di sebuah kebun, di sini.

Ular sawa batik seberat kira-kira 55 kilogram itu, ditemui penjaga jentolak kira-kira jam 2.30 pagi di kawasan kebun, Kampung Budiman, Meru, di sini semalam.

Pegawai Operasi Gerakan JPAM Selangor, Leftenan Md Noor Hashim berkata, empat anggota JPAM dihantar ke kawasan kebun itu,.

Bagaimanapun, menurutnya, kekuatan anggota terpaksa ditambah apabila usaha awal menangkap reptilia berkenaan tidak berjaya.

“Kita terpaksa menggunakan pelbagai peralatan pada awalnya, namun gagal sehingga salah seorang anggota tercedera ketika ingin menarik reptilia berkenaan.

“Berkat kerjasama, akhirnya reptilia itu berjaya ditangkap kira-kira jam 4.30 pagi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat JPAM, di Jalan Raya Barat,” katanya kepada Sinar Harian.

Gara-gara saiz ular berkenaan berbeza daripada penemuan sebelum ini, JPAM turut berdepan masalah apabila karung dan peralatan yang dibawa bagi menyimpan reptilia itu tidak mampu menampung saiznya yang panjang dan besar.

Md Noor berkata, kejayaan itu menjadi penangkapan reptilia terpanjang dan paling berat pernah dilakukan JPAM Selangor tahun ini.

Katanya, berdasarkan maklumat awam, terdapat seekor lagi ular sawa dengan saiz hampir sama berada di kawasan itu, namun dipercayai telah mati akibat ditimpa jentolak.

“Orang awam yang mempunyai maklumat penemuan haiwan berbahaya diminta menghubungi Bilik Gerakan JPAM dengan segera,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment