Search This Blog

Saturday, July 2, 2011

Dituduh perdaya orang awam



:SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan dari Golden Nest Properties International (M) Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan memperdaya orang awam untuk menyertai skim pelaburan haram.

Berdasarkan pertuduhan, Datuk Wong Sen Chiew, 55, didakwa memperdaya orang awam untuk menyertai skim pelaburan ‘bird nest cultivation’ yang menjanjikan pulangan tetap hingga menyebabkan orang awam membayar deposit melalui akaun syarikatnya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau RM30,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, ahli perniagaan berkenaan juga mengaku tidak bersalah terhadap 28 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram hasil aktiviti pelaburan tanpa permit itu sejumlah RM975,000.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di pejabatnya itu, Tingkat 1, Blok A, Jaya One, Jalan Universiti, Petaling Jaya dan di beberapa bank sekitar Lembah Klang antara 2 Disember 2008 dan 1 Oktober 2009.

Bagi tuduhan penggubahan wang haram, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a), Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim, Aslam Zainuddin membenarkan ahli perniagaan itu diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 4 Ogos depan.
SH

No comments:

Post a Comment