Search This Blog

Tuesday, July 26, 2011

Denda RM20,000 simpan kicap tiruan



SEREMBAN – Seorang pemilik kedai borong didenda RM20,000 atau sebulan penjara setelah mengaku bersalah memiliki 3,840 botol kicap tiruan menggunakan jenama Cap Kipas Udang di Mahkamah Sesyen Seremban, dekat sini, semalam.

Tertuduh, Ng Kok Chin, 53, didakwa melakukan kesalahan itu semasa serbuan dijalankan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri di sebuah premis di Jalan Tuanku Antah dekat sini, kira-kira jam 1 petang, 13 Disember lalu.

Kok Chin yang tidak diwakili peguam dituduh di bawah Seksyen 3(1) (b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (1) akta sama memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Ibrahim Md Yunus di depan Hakim Mazilah Manap.

Dalam rayuannya, Kok Chin memohon mahkamah memberinya peluang kerana dia tidak tahu semua kicap terbabit adalah tiruan.

Menurutnya, kesalahan itu pertama dilakukannya sejak berniaga 25 tahun lalu dan dia perlu menyara tiga anak.

Bagaimanapun, Mazilah dalam penghakimannya berkata, tertuduh bertanggungjawab memeriksa barangan dihantar pembekal dan perlu berhati-hati menjalankan urus niaga.

“Hukuman ini juga sebagai peringatan kepada peniaga lain agar mematuhi undang-undang,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment