Search This Blog

Monday, July 18, 2011

Dapur rumah bumbung langit



SEKINCHAN – Hampir 10 tahun rumah yang dibina masih belum siap kerana kekangan kewangan disebabkan mahu mendahulukan perihal persekolahan anak-anak dan keperluan harian keluarga selain sumber pendapatan yang tidak menentu.

Azlina Daud, 38, berkata, rumah terpaksa dibina sedikit-sedikit kerana masalah kewangan dihadapi. Keadaan bertambah rumit apabila perniagaan jubin kecil-kecilan suami pula semakin merosot kerana kurangnya jualan dan terpaksa pula menanggung hutang dengan kilang untuk membayar kos jubin yang diambil.

“Selain itu, kerja suami yang mengambil upah membawa lori sewa juga agak terbatas. Jika ada yang hendak berpindah rumah barulah ada pendapatannya. Kalau tidak, memang tiada. Pendapatan yang ada pun hanya cukup-cukup sahaja dan ada kalanya tidak mencukupi langsung.

“Tapi hendak buat macam mana, kami terima sahaja keadaan hidup seperti ini. Memang tiada siapa pun yang hendak merasai kesusahan hidup seperti ini. Apa yang orang tengok dari luar langsung tidak sama dengan apa yang kami lalui,” katanya.

Azlina berkata demikian ketika ditemui pada program Turun Padang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim bagi meninjau kelancaran program baik pulih rumah.

Azlina berkata lagi, dalam tempoh empat tahun sejak proses pembinaan rumahnya terbengkalai, dia terpaksa menyediakan makanan untuk seisi keluarga di dapur yang berbumbungkan langit.

“Paling menyedihkan apabila tiba bulan puasa, jika hendak memasak juadah bersahur, melihat ke atas nampak langit. Kalau sedang memasak dan tiba-tiba hari hujan, terpaksalah berhenti memasak. Bukan sahaja bahagian dapur tidak berbumbung, malahan bumbung di bahagian rumah ibu juga sudah berlubang-lubang.

“Jika hujan turun tiba-tiba, tak sempatlah hendak menadah besen atau menyelamatkan barang-barang. Kalau ada tanda-tanda hendak hujan boleh juga bersedia. Pernah juga sedang tidur waktu malam air hujan menitis masuk ke rumah dan terpaksa beralih tempat tidur,” katanya.

Difahamkan, hasil perkongsian hidup Azlina dan suaminya, mereka dikurniakan tujuh anak, lima daripadanya bersekolah manakala dua lagi masih kecil. Dalam kehidupan yang serba kekurangan itu, turut tinggal bersama, ibu Azlina, Siti Hatijah abdul Hamid, 63.

Katanya, mereka sekeluarga berbesar hati dengan bantuan bumbung rumah yang diberikan. Ia memberi sinar baru kepada kami sekeluarga untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya dengan penuh bermakna.

“Kami hanya mampu minta tolong daripada abang yang membuat kerja-kerja menukang tanpa bayar upah. Jadi, kalau dia ada kerja lain, dia akan dahulukan kerja itu, dan kami pun faham dia hendak cari rezeki.

“Insya-Allah, bumbung ini akan siap dipasang sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment