Search This Blog

Saturday, July 2, 2011

Castillo ditahan lagi

KUALA LUMPUR 1 Julai - Romeo Castillo yang didakwa ejen warga Filipina untuk membawa gerakan komunis di negara ini, ditahan untuk kali kedua oleh polis ketika dalam perjalanan ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, petang semalam.

Timbalan Setiausaha Agung sebuah parti berhaluan kiri, Partido Lakas dan Massa (PLM) serta Organisasi Hadapan Komunis di Filipina yang berusia 59 tahun itu ditahan lagi kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan parti komunis Filipina, kira-kira pukul 4 petang.

Castillo sebelum ini ditahan bersama sekumpulan 29 ahli Parti Sosial Malaysia (PSM) dan seorang warga Korea, Min Young Song, 24, di hadapan Kolej Matrikulasi Ledang, Johor pada Sabtu lalu, bagaimanapun dibebaskan keesokan harinya.

Menurut sumber, penahanan semula Castillo ketika dia bersama seorang ahli PSM dikenali sebagai Mohan dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke Filipina selepas siasatan mendapati dia membawa unsur-unsur komunis dan kaitannya dengan PSM di negara ini.

Kata sumber itu, Castillo ditahan mengikut Seksyen 56 (1)(1) Akta Imigresen dan akan diusir ke negara asalnya dalam masa terdekat ini supaya tindakan lanjut boleh diambil pihak berkuasa Filipina.

"Penahanannya bagi membantu siasatan unsur-unsur komunis yang kini diserap masuk ke negara bagi menjatuhkan kerajaan.

"Difahamkan, PLM telah menyerahkan satu memorandum untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Kedutaan Malaysia di Filipina pagi ini bagi mendesak pihak polis membebaskan aktivis PSM dan Castillo secepat mungkin.

"Jika tuntutan itu tidak dipedulikan, mereka akan mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan kedutaan tersebut dalam tempoh terdekat ini," kata sumber itu.

Akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan agensi-agensi perisikan antarabangsa termasuk National Intelligent Coordinating Agency (NICA) mengesahkan Castillo adalah Timbalan Setiausaha Agung PLM serta Organisasi Hadapan Komunis di Filipina.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment