Search This Blog

Friday, July 22, 2011

Berang adik enggan benar pinjam motosikal



KOTA BHARU – Seorang abang sanggup bertindak kejam dengan memukul kepala adik perempuannya menggunakan sebuah topi keledar hanya kerana berang selepas mangsa enggan meminjamkan motosikal kepada abang kandungnya itu.

Tindakan lebih sebulan lalu itu bagaimanapun membawa padah kepada penganggur berkenaan apabila dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Kota Bharu, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin sejurus Mohd Zulkefeli Awang @ Idris mengaku melakukan perbuatan itu di Kampung Seribong, Jalan Pasir Tumboh, di sini, 3 Jun lalu.

Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, tertuduh naik marah apabila permintaannya tidak dipenuhi lalu mencapai topi keledar terus memukul kepala Nor Atiqah, 19 sehingga menyebabkan kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

“Kesalahannya memukul adik kandungnya sendiri menggunakan topi keledar sangat serius dan hukuman sepatutnya akan memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Berikutan itu, Majistret Nur Zakiyah Shamsudin memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya, sehari selepas kejadian.
SH

No comments:

Post a Comment