Search This Blog

Friday, July 1, 2011

Bekas CEO didakwa tipu bank

SHAH ALAM 30 Jun - Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat kitar semula produk petroleum hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 25 tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pembiayaan kewangan sebanyak RM126 juta daripada Maybank.
Mohamed Assari Che Mahmood, 51, yang berkhidmat selama 10 tahun di Aldwich Bhd. dan Aldwich Enviro-Management Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas setiap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fadhir Harun.
Dia didakwa menipu Shahrul Iman Sulaiman, Khiroon Nisa Hamdan, Rahila Mohamad Saleh, Nor Zharina Mufip dan Kaldip Kaur untuk mempercayai bahawa 25 dokumen yang dikeluarkan kepada syarikat perkapalan (bill of lading) dan 25 invois palsu adalah tulen.
Perbuatan yang dilakukan melalui pekerja-pekerjanya telah mendorong lima pegawai Trade Finance Centre Maybank itu meluluskan 25 permohonan pembiayaan Bankers Acceptanceyang kesemuanya berjumlah RM126,296,000 kepada Aldwich Enviro-Management.
Semua kesalahan itu dilakukan di Shah Alam Trade Finance Centre, Malayan Banking Bhd. (Maybank) Tingkat 2, No.10, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 di sini antara 24 Disember 2008 dan 16 November 2009.
Bagi setiap pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin di kalangan ahli keluarga dengan alasan kes itu melibatkan jumlah wang yang besar.
Peguam Abdul Aziz Hamzah bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya tidak mendapat satu sen pun kerana kesemua wang diperoleh oleh syarikat.
Katanya, anak guamnya juga memberikan kerjasama kepada pihak polis dan sanggup kembali ke tanah air ketika berada di luar negara apabila di arah datang ke balai polis untuk siasatan.
Mohd. Fadhir membenarkan bekas pegawai syarikat petroleum itu dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Kes itu akan disebut semula pada 29 Julai ini.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment