Search This Blog

Tuesday, July 19, 2011

Bebas kerana tak jumpa saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Mazhazmi Jamaludin dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat lalu terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000, dua tahun lalu.

Mengikut rekod mahkamah, Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais.


Permohonan dibuat berikutan saksi utama kes itu Redzuan Goh Mohammed Karian masih belum dapat dikesan.

Mengikut tuduhan, Mazhazmi, 37, didakwa memperoleh suapan itu daripada Redzuan Goh Mohammed Karian, pemilik MLC Shipbuildings Sdn Bhd sebagai upah untuk satu tindakan kononnya mencadangkan syarikat itu mendapatkan kontrak pembinaan baj dan dua kapal tunda dan mengesahkan pembayaran pembinaannya yang bernilai AS$134.2 juta (RM416.02) juta.


Kesalahan dilakukan di bilik mesyuarat MLC Shipbuilding, Megan Aveneu 1, Blok C, 6-1 Jalan Tun Razak pada jam antara 1.25 hingga 5 petang, 31 Disember 2008.


Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Undang-Undang Malaysia 575).

Terdahulu, media yang tiba di mahkamah seawal jam 9 pagi untuk membuat liputan kes itu dikejutkan dengan maklumat dari pihak mahkamah bahawa kes yang sepatutnya ditetapkan hari ini (semalam), sudah berjalan empat hari lalu.


Pada 25 April lalu, pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah Mazhazmi dibebas tanpa dilepaskan berikutan pegawai penyiasat masih tidak dapat mengesan Redzuan.

Bagaimanapun pihak pembelaan yang diwakili peguam Shamsul Sulaiman mahukan anak guamnya dilepaskan kerana masalah itu ditimbulkan pihak pendakwaan.


Mahkamah memberi tempoh tiga bulan untuk pendakwaan mengesan saksi penting dan akan membuat keputusan sama ada tertuduh akan DNAA atau dilepaskan terhadap pertuduhan.

myMetro | Bebas kerana tak jumpa saksi

No comments:

Post a Comment