Search This Blog

Saturday, July 2, 2011

Babi hutan ancam penduduk



PENDANG – Penduduk di beberapa kampung dan taman perumahan sekitar tapak projek pembinaan hospital daerah di sini, bimbang berikutan sering diancam sekumpulan babi hutan yang berkeliaran di sekitar perumahan mereka.

Difahamkan tapak projek untuk pembinaan hospital daerah itu sudah terbiar lebih 15 tahun sehingga menyebabkan kawasan tapak itu ditumbuhi semak dan menjadi habitat babi.

Penduduk, Musa Ahmad, 45, berkata, penduduk sekitar kawasan itu bimbang dengan keselamatan mereka kerana sekumpulan babi hutan sering berkeliaran di situ terutamanya pada waktu malam sehingga lewat pagi.

Menurutnya, antara kampung yang terlibat adalah Kampung Banggol Pauh, Pondok Hampar Kanan, Banggol Petai dan beberapa lagi kampung lain termasuk Taman perumahan iaitu Taman Mawar, Melor, Orkid.

“Penduduk dari kawasan berkenaan takut untuk keluar kerana bimbang dicederakan babi yang keluar dari tapak projek itu.

“Selain itu, babi berkenaan turut memusnahkan tanaman penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Musa berkata, bukan sahaja kawasan perumahan dan tanaman yang menjadi sasaran babi juga tanah perkuburan Islam turut diceroboh dengan merosakkan beberapa batu nisan di tanah perkuburan itu.

“Tapak projek itu sudah terbiar lebih 15 tahun namun, hanya sekali sahaja pihak berkenaan membersihkan kawasan itu.

“Sepatutnya pihak berkenaan menjaga kawasan tapak projek itu walaupun projek di tapak itu belum dijalankan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Syed Basharudin Syed Noor, 39, berkata, pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal juga sering berhadapan bahaya kerana babi hutan itu turut berkeliaran di jalan raya.

“Ada pengguna jalan raya yang cedera akibat disondol babi ketika sedang menunggang motosikal.

“Kawasan itu juga turut menjadi sasaran kepada penagih dan pencuri motosikal untuk menjalankan aktiviti tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, Harun Hamid, 59, berkata, pelbagai aduan sudah dibuat kepada pelbagai pihak namun, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, ada penduduk yang memohon untuk menyewa memajukan tapak projek itu untuk tanaman pertanian sementara tapak itu dibangunkan untuk projek berkenaan namun, belum mendapat kelulusan.
SH

No comments:

Post a Comment