Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

7 warga asing gagal bolos

TAWAU: Taktik tujuh warga asing, termasuk tiga wanita, menggunakan pasport orang lain berjaya dihidu anggota Jabatan Imigresen sebelum mereka berlepas ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Tawau, kelmarin.

Dalam kejadian pada 9.30 malam, semua suspek berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun ditahan ketika ingin melepasi pemeriksaan imigresen.


Ketua Imigresen Tawau, Ibrahim Tamsil berkata, hasil pemeriksaan, anggotanya mendapati wajah semua suspek tidak menyerupai gambar pasport dikemukakan di kaunter, sebaliknya seperti suku kaum Timur dari Indonesia dan gambar pada pasport mereka sangat berbeza.

“Siasatan juga mendapati mereka berurusan dengan individu tertentu di sini bagi mendapatkan pasport terbabit untuk membolehkan mereka menaiki pesawat ke Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, kelmarin.


Menurutnya, mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) yang membolehkan mereka ditahan 14 hari untuk siasatan.


“Ini kes pertama berlaku dalam tahun ini dan kita percaya semua suspek memasuki daerah ini menggunakan jalan ‘tikus’ dua hari lalu.

“Mereka ditahan di Pusat Tahanan Sementara dan akan disiasat mengikut Seksyen 12(1)(b) iaitu menyamar atau menggunakan pasport orang lain untuk kegunaan sendiri,” katanya.



Menurutnya, jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Ibrahim menggesa orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan imigresen.

myMetro7 warga asing gagal bolos

No comments:

Post a Comment