Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

2 warga Nigeria seludupsyabu RM1.8 juta


SHAH ALAM 5 Julai - Polis menggagalkan dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan tertangkapnya dua warga Nigeria bersama 7.1 kilogram syabu bernilai RM1.8 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini baru-baru ini.

Kedua-dua suspek yang dipercayai keldai dadah berusia 24 tahun dan 34 tahun masing-masing ditahan dalam pemeriksaan berasingan pada beg pakaian mereka, Jumaat dan Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah berkata, kedua-dua suspek bukan daripada sindiket yang sama dan masing-masing datang dengan penerbangan berasingan.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan pasport, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penjual pakaian di negara masing-masing, baru pertama kali datang ke Malaysia.

"Suspek pertama datang dengan penerbangan dari Afrika dan tiba pada pukul 4.30 petang Jumaat lalu sementara suspek kedua menaiki penerbangan dari Ethopia menuju Addis Abbaba sebelum ke Bangkok dan kemudian tiba di KLIA pada pukul 9.35 pagi Ahad lalu.

"Jika kedua-dua suspek lolos, bekalan syabu yang dibawa cukup untuk bekalan 24,000 penagih di negara ini," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Menurut Tun Hisan, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, berdasarkan pengamatan pihaknya, sindiket dadah antarabangsa kini menukar taktik dengan lebih kerap menggunakan warga Nigeria untuk membawa masuk dadah ke negara ini berbanding warga Iran.

Ujar beliau lagi, berikutan tangkapan yang kerap iaitu kira-kira 48 orang sepanjang enam bulan tahun ini, cubaan menyeludup dadah ke negara ini juga dilihat menurun.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment