Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

2 rumah, masjid rosak dipukul ribut

MENTAKAB 16 Julai - Sebuah bengkel, dua buah rumah dan sebuah masjid rosak dalam kejadian ribut di Kampung Desa Bakti di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, rumah Imam Masjid Kampung Desa Bakti itu, Ramli Mat Zali, 73, antara yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbungnya akibat diterbangkan angin kencang.

Ketika kejadian, Ramli sedang bersiap untuk menunaikan solat asar sebelum dikejutkan dengan dentuman guruh dan petir diiringi angin kencang yang menyebabkan kerosakan pada bumbung.

Dalam kejadian itu, Ramli berada di dapur rumah untuk mengambil wuduk.

''Saya sempat melihat panahan petir di luar rumah dan sekelompok sampah berterbangan dibawa angin kencang seperti puting beliung yang terus merempuh bumbung rumah saya.

''Dalam kekalutan itu, saya cuba azan tetapi tidak bersuara sebelum seorang anak dan isteri menarik saya ke ruang tamu untuk berlindung," katanya.

Ramli memberitahu, ketika cuba menyelamatkan diri untuk berlindung, atap zink dapur dan beberapa batang kayu tercabut dan melayang.

Pada masa sama, katanya, angin kencang itu menerbangkan bumbung bengkel kereta milik anaknya di depan rumah sejauh lebih 10 meter.

''Bumbung bengkel anak saya jatuh betul-betul di atas jalan utama Temerloh ke Karak dan nasib baik ketika kejadian tidak banyak kenderaan lalu lalang," katanya.

Utusan Malaysia Online - Pahang

No comments:

Post a Comment