Search This Blog

Sunday, July 31, 2011

Bebas Tuduhan Bunuh: Sahari Mahu Ziarah Pusara Syafiah Humaira

SHAH ALAM: Seorang bekas konstabel polis, Sahari Usul pada Jumaat, mendapat peluang kedua untuk memeluk anak lelakinya, Shafiq Haikal selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh, lima tahun lalu.
Bagaimanapun, dia pasti terkilan kerana tidak dapat memeluk anak bongsunya, Syafiah Humaira, tiga tahun empat bulan yang meninggal dunia pada 25 Februari lalu akibat dipijak dan ditendang oleh seorang pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil, 29.
Mohd Fazli Azri yang merupakan kekasih kepada isteri Sahari, Siti Nurhanim Aziz, 26, telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan itu pada 22 September 2010.
"Perkara pertama yang mahu saya lakukan adalah menziarah pusara Syafiah Humaira," katanya yang turut beberapa kali menjerit bahawa dia kini seorang yang bebas.
Lelaki berkulit cerah yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, dekat sini, juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan rasa syukur selain membaca Al-Quran yang dibawanya.
"Saya tidak kisah akan bekerja di mana selepas ini," katanya, tetapi seorang ahli keluarganya memberitahu, mereka berhasrat membawa lelaki itu dan Shafiq Haikal pulang ke Seri Aman, Sarawak.
Sahari kemudiannya meraikan pembebasannya dengan makan di sebuah kopitiam di Plaza Alam Sentral, di sini.
Terdahulu, Hakim Dr Badariah Sahamid membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Sahari berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan membunuh seorang warganegara Indonesia, Yusrizal Yusuf.
Bagaimanapun, beliau menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap dua lagi anggota polis, Koperal Ailias Yahaya, 56, dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, 46, yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu.
Mereka didakwa membunuh Yusrizal, 38, antara pukul 10 hingga 11.30 malam, 13 Januari 2006, di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azari Harun dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala barisan pembelaan diwakili oleh peguam-peguam J.Kuldeep Kumar, M. Athimulan dan Ravi Shankar Ghandi.
Mangsa mati kerana ditembak sebanyak tiga kali dari belakang dalam jarak dekat dalam keadaan tangan bergari dengan menggunakan pistol milik Sahari. Gari di tangan mangsa hanya dibuka selepas dia rebah.
Sahari dikatakan menyerahkan pistol itu kerana dia tidak boleh 'ikut serta ekoran orang rumahnya sedang mengandungkan Syafiah'.
Kejadian itu didakwa berpunca apabila mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang (bekas pengawal keselamatan, Alias Mohamad Isa) bernama Zainun Talib dan pernah mengugut akan melarikan wanita tersebut.
Dua minggu sebelum kejadian, Yusrizal juga dikatakan telah menyebut “Jika abang mahu pukul saya, pukul sampai mati, Jika tidak mati, saya akan bunuh semua anak beranak abang tujuh keturunan” menyebabkan Alias membuat laporan polis di Sungai Plong.
Di balai polis tersebut, Alias dan seorang penjual kereta terpakai, Sulaiman Mohamad, 40, (saksi pendakwaan 33) telah melepaskan geram dengan memukul dan menendang mangsa yang ketika itu ditahan bagi tujuan pengecaman suspek bagi kes ugutan.
Pada waktu itu, Alias ada memberitahu, dia percaya mangsa seorang yang kebal kerana mengamalkan ilmu hitam, telah membuang tangkal dan minyak pengasih milik mangsa ke dalam mangkuk tandas.
Selain itu, saksi juga menyatakan bahawa Alias dan Saiful Azlan telah bertemu dengannya di Restoran Maju Ahmad di Kuang, dekat sini dan menunjukkan tiga butir kelongsong peluru yang kosong dan berkata ‘dah padam’.
http://mstar.com.my

Pembuat Serunai Maut Ditikam Selepas Serang Lelaki

ALOR SETAR: Tindakan seorang pembuat serunai yang menyerang serta memukul seorang lelaki yang dikenalinya, membawa padah apabila dia sendiri menemui maut dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner (ACP) Adzaman Mohd Jan berkata ketika kejadian suspek sedang membaiki kereta di rumah berkenaan sebelum tiba-tiba mangsa, Ismail Ahmad, 58, datang dan terus menyerang suspek dipercayai akibat masalah keluarga.
Apabila mangsa menyerang, suspek menyerang balik dan berlaku pergelutan. Semasa pergelutan itu, mangsa dikatakan terkena tikaman pisau lipat, katanya kepada pemberita di sini Ahad.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh jirannya dan meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 9.15 malam tadi, manakala suspek telah serah diri di Balai Polis Kuala Kedah pukul 10.10 malam," kata Adzaman. - BERNAMA
http://mstar.com.my

Kedai Emas Di Jalan Bazar Buluh Kubu Kerugian RM30,000 Dirompak Dua Lelaki

KOTA BAHARU: Sebuah kedai emas di Jalan Bazar Buluh Kubu dekat sini kerugian hampir RM30,000 selepas dirompak dua lelaki petang Ahad.Ketua Polis Daerah Kota Baharu Asisten Komisioner (ACP) Azham Othman berkata kejadian itu berlaku kira-kira 3.30 petang selepas seorang suspek berjaya memperdaya jurujual kedai berkenaan sebelum melarikan sepuluh utas rantai emas.Beliau berkata sebelum itu, seorang suspek berumur lingkungan 30-an masuk ke kedai tersebut dan berpura-pura sebagai pelanggan yang ingin membeli rantai emas manakala seorang lagi menunggu di luar bersama sebuah motosikal."Selepas masuk ke kedai, tiga daripada enam jurujual di situ segera melayan suspek yang membuat pelbagai pertanyaan mengenai emas yang dijual."Tindakan suspek yang bertanya banyak soalan itu berjaya mengalih pandangan kesemua jurujual, dan ketika itu, suspek dengan pantas mengambil 10 utas rantai emas yang terletak dalam meja pameran kaca kedai itu," katanya kepada pemberita, Ahad.Azham berkata selepas mengambil rantai berkenaan, suspek kemudian bergegas ke tempat rakannya yang sedang menunggu di luar kedai dan segera melarikan diri dengan menaiki motosikal.Bagaimanapun, beliau berkata polis membuat pengecaman wajah suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam kedai berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.Siasatan awal mendapati suspek tidak menggunakan sebarang kekerasan dan tidak membawa senjata ketika melakukan rompakan itu, katanya.Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata suspek dipercayai memperdayakan jurujual terbabit dengan mengajukan pelbagai soalan, termasuk harga dan upah menempah emas."Suspek juga menyuruh jurujual ambil emas yang berlainan di tempat lain, dan masa itulah suspek segera mengambil 10 utas rantai tersebut."Kejadian itu berlaku begitu pantas, tidak sampai sepuluh minit, dan kesemua jurujual tidak sempat berbuat apa-apa," katanya. - BERNAMA
http://mstar.com.my

Tujuh terbunuh dalam kejadian amuk di Xinjiang, China

BEIJING: Dua lelaki menikam sehingga mati tujuh orang dan menyebabkan 28 lagi cedera dalam kejadian amuk di wilayah Xinjiang hari ini.Seorang penyerang itu kemudiannya dibunuh dalam kejadian berkenaan di bandar Kashgar iaitu serangan kedua bulan ini di Xinjiang di mana kebanyakan umat Islam minoriti Uighur tidak berpuashati terhadap pemerintahan kerajaan China.
Jurucakap kerajaan wilayah berkenaan, Hou Hanmin berkata, kedua-dua penyerang itu adalah Uighur dan masih hidup serta kini ditahan. - AFP
http://www.bharian.com.my

Dua maut, enam hilang dalam nahas bot di Moscow

MOSCOW: Dua maut dan enam lagi masih hilang selepas sebuah bot persiaran yang membawa 15 orang bertembung dengan baj di Sungai Moskva dan karam awal hari ini.Penyiasatan awal mendapati dua orang yang menaiki bot berkenaan mati, tujuh berjaya diselamatkan dan enam lagi nmasih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan hari ini. - AFP
http://www.bharian.com.my

Tiga terbunuh akibat hujan lebat di timur laut Jepun


TOKYO: Angka korban akibat hujan lebat yang terus melanda timur laut Jepun meningkat kepada tiga orang di wilayah Niigita, hari ini.Tiga lagi dilaporkan hilang di Niigata dan Fukushima yang pernah digegarkan dengan gempa bumi berukuran 9.0 magnitud dan tsunami pada 11 Mac sehingga menyebabkan kerosakan teruk di loji nuklear. - AFP
http://www.bharian.com.my

Dua pelancong Perancis mati dipercayai ditembak di Argentina

BUENOS AIRES: Dua pelancong wanita Perancis ditembak mati di utara Argentina apabila mayat mereka ditemui orang awam, semalam.Mangsa adalah rakyat Perancis dipercayai ditembak di kawasan tumpuan pelancong di wilayah Salta.
Mayat wanita berkenaan kedua-dua berumur 30 tahun, ditemui kelmarin oleh pendaki di Bukit San Lorenzo, ibu negeri wilayah berkenaan. - AFP
http://www.bharian.com.my

Pembuat serunai maut ditikam


ALOR SETAR: Tindakan seorang pembuat serunai yang menyerang serta memukul seorang lelaki yang dikenalinya, membawa padah apabila dia sendiri menemui maut dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini malam tadi. 


Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan, berkata ketika kejadian suspek sedang membaiki kereta di rumah berkenaan sebelum tiba-tiba mangsa, Ismail Ahmad, 58, datang dan terus menyerang suspek dipercayai akibat masalah keluarga.
Katanya, apabila mangsa menyerang, suspek menyerang balik dan berlaku pergelutan dan semasa pergelutan itu, mangsa dikatakan terkena tikaman pisau lipat.
"Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh jirannya dan meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 9.15 malam tadi, manakala suspek menyerah diri di Balai Polis Kuala Kedah 10.10 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - BERNAMA 
http://www.bharian.com.my

Wanita Indonesia dibunuh kekasih

JOHOR BAHRU: Seorang warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Ana dipercayai dibunuh oleh kekasihnya di rumah tempat mereka tinggal di Kampung Rumah 10, Plentong di sini hari ini. 
Kekasihnya yang juga warga Indonesia yang dikenali sebagai Edy, 28, kemudiannya ditahan polis.

Menurut polis, wanita berusia 28 tahun itu ditemui mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dipercayai dipukul oleh suspek.
Suspek bekerja sebagai jurulektrik. 

Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.30 pagi apabila jiran mendengar jeritan wanita berkenaan meminta tolong. 

Mereka kemudiannya melihat lelaki itu sedang memukul mangsa namun diberi amaran oleh suspek agar tidak masuk campur dalam urusan mereka. 

Jiran kemudiannya menghubungi polis. 
"Polis masih menyiasat punca kematian dan motif sebenar pembunuhan tersebut. Punca kematian Ana hanya akan diketahui selepas selesai bedah siasat," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, DSP Saifi Abdul Hamid. 

Katanya, pasangan berkenaan baru sahaja sebulan menetap di kampung itu. 

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail sementara kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Difahamkan, wanita itu sebelum ini memberitahu jiranya bahawa beliau membeli barangan keperluan untuk dibawa pulang ke kampungnya pada Hari Raya nanti. - BERNAMA
http://www.bharian.com.my

Warga emas nyaris maut kereta rempuh kedai



BUNTONG – Seorang warga emas nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas dan merempuh sebuah kedai menjual kalungan bunga di Jalan Sungai Pari, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, seorang penunggang motosikal berusia 30 tahun turut mengalami kecederaan ringan ketika cuba mengelak daripada melanggar kenderaan berkenaan.

Saksi kejadian, B Balakrishnan, 61, berkata beliau dan rakannya sedang minum pagi di kedai bersebelahan sebelum mendengar bunyi dentuman kuat dari tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu merempuh premis berkenaan.

“Kejadian berlaku apabila mangsa hilang kawalan dan cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang kebetulan datang dari arah bertentangan.

“Akibat terlalu panik dan terkejut pemandu warga emas terbabit terus merempuh kedai makan yang berada di bahagian kiri jalan,” katanya.

Kemalangan itu menyebabkan bahagian cermin hadapan kereta pecah serta lampu di bahagian kanan turut mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, wanita berusia 61 tahun dan penunggang motosikal hanya cedera ringan dan dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
http://www.sinarharian.com.my

Kereta remuk elak lembu



KAMUNTING – Seorang penoreh getah, di sini, terpaksa menunggu kereta miliknya dibaiki sepenuhnya setelah mengalami kemalangan Februari lalu.

Abd Majid Abd Rani berkata, kejadian berlaku di Pondok Tanjung apabila dia terbabas setelah mengelak lembu yang melintas.

Menurutnya, akibatnya kereta jenis Kia Spectra miliknya remuk di bahagian hadapan.

“Saya telah menghantar kereta ke bengkel untuk dibaiki seterusnya membuat tuntutan insurans tetapi mereka hanya meluluskan RM7,000 sahaja.

“Pihak bengkel pula telah memberikan anggaran kerja pembaikan itu berjumlah RM18,018.85. Dengan nilai yang pihak insurans berikan, ia terlalu sedikit sehingga tidak dapat menampung kos pembaikan ini,” katanya.

Sementara itu, Abd Majid berkata, menurut penyelaras insurans, nilai yang dianggarkan adalah RM9,217.95,

“Jadi jaraknya juga agak besar, saya telah menghantar surat kepada pihak insurans untuk membuat permohonan ‘total loss’.

“Namun, permohonan itu ditolak dengan alasan kereta ini masih boleh dibaiki malah salinan penilaian kereta oleh penyelaras insurans juga tidak diberikan kepada saya,” katanya.

Manakala, Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, dia akan membawakan masalah itu ke Tribunal Pengguna sekiranya syarikat insurans masih berdegil.

“Kereta itu masih belum lagi dibaiki, sekiranya jumlahnya masih RM9,000 diberikan bolehlah mereka mencari bengkel lain yang mahu menerima kereta ini untuk dibaiki,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Tanaman musnah angkara babi



PENDANG – Resah dan bimbang. Begitulah yang terjadi kepada penduduk di beberapa kampung di sini berikutan tanaman mereka musnah angkara babi yang sering berkeliaran.

Antara kampung yang terjejas, Kampung Banggol Pauh, Pondok Chegar, Batu Hampar, Banggol Petai, Taman Melur, Taman Seroja dan beberapa lagi kawasan berhampiran.

Penduduk yang dikenali sebagai Harun berkata, berikutan masalah itu mereka tidak boleh bercucuk-tanam di kawasan halaman rumah.

“Rumah yang tidak mempunyai pagar terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan kampung berisiko diancam binatang itu.

“Ia datang dari kawasan hutan berdekatan perumahan kami. Kami harap hutan ini dapat dibersihkan oleh pihak bertanggungjawab.

“Paling kurang menyenangkan apabila tanah perkuburan Islam turut menjadi mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Nor Aini Saad, 50, berkata, penduduk sering terserempak dengan sekumpulan binatang terbabit yang berada di sekitar jalan utama ketika mereka dalam perjalanan ke surau terutamanya ketika subuh.

“Ada juga yang cedera disondol babi dan pelbagai lagi masalah yang terpaksa ditanggung.

Saya harap pihak berkenaan mengambil serius perkara ini dan turun padang membantu kami mengatasi masalah ini segera,” katanya.
http://www.sinarharian.com.
Dua warga tempatan meninggal dunia akibat Tibi 

SUNGAI BULOH – Dua lelaki rakyat tempatan dilaporkan meninggal dunia akibat batuk kering di Kampung Paya Jaras bulan ini.

Perkara itu disahkan Penolong Pengarah (Tibi/Kusta), Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Faridah Kusnin ketika ditemui pada sesi penerangan bersama penduduk Kampung Paya Jaras Dalam malam kelmarin,

Menurutnya, kes di kampung itu kini dipantau abatan Kesihatan Daerah Petaling.

“Setakat ini punca penyakit merebak di kawasan ini berkemungkinan besar berpunca daripada kehadiran warga asing yang ramai di kawasan itu, bagaimanapun kita harap mereka yang mempunyai tanda seperti menghidap batuk berpanjangan lebih dari dua minggu agar membuat pemeriksaan segera sama ada di klinik kesihatan atau hospital berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pencegahan awal perlu bagi mengekang penyakit berkenaan merebak.

“Kita sarankan supaya orang ramai juga mengambil beberapa langkah pencegahan termasuklah memastikan pengudaraan di rumah berada dalam keadaan baik serta menutup mulut ketika batuk,” katanya.

Berhubung rekod jangkitan penyakit itu di negeri ini, Dr Faridah berkata, tahap jangkitan menunjukkan peningkatan 12 peratus setiap tahun.

“Isu ini memerlukan perhatian semua pihak agar tidak terus merebak terutama di kawasan mempunyai kepadatan penduduk tinggi,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Tukang sapu diperintah bela diri



SHAH ALAM – Seorang tukang sapu warga Indonesia diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam terhadap tuduhan membunuh seorang rakannya, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir memerintahkan demikian terhadap Marianto Azlan, 37, selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Marianto bersama-sama empat yang masih bebas didakwa membunuh Firdaus Komari di kawasan tanah lapangan Lorong Kayangan 3, Kampung Pandan, Ampang, kira-kira jam 7 petang, 21 Januari 2007.

Akhtar dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati keterangan saksi pembelaan konsisten dengan laporan perubatan dan kimia.

“Mahkamah beri peluang peguam bela untuk menasihati anak guam sama ada memilih keterangan bela diri secara berdiam diri, memberi keterangan di kandang tertuduh atau dari kandang saksi,” katanya.

Perbicaraan terhadap Marianto dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhani Mohd Azhar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Mengikut Seksyen terbabit, Marianto boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

http://www.sinarharian.com.my

Waspada sindiket penipuan



IPOH – Orang ramai diminta berwaspada dengan satu sindiket penipuan antarabangsa yang giat menjalankan kegiatan haram mereka menerusi penggunaan akaun bank milik seseorang individu.

Difahamkan, ahli sindiket yang menyamar (biasanya sebagai ahli perniagaan), begitu bijak menjalankan kegiatan mereka dengan meminta kebenaran daripada individu berkenaan berhubung penggunaan akaun peribadi mereka bagi tujuan memasukkan sejumlah wang daripada pihak ketiga yang berada di luar negara.

Seorang mangsa sindiket berkenaan, Aaron Raj, 32, berkata, ahli sindiket berkenaan bijak memperdayakan orang ramai menerusi kaedah berkenaan hingga mengakibatkan mangsa akan memberi kebenaran untuk menggunakan akaun peribadi tujuan berkenaan.

Menurutnya, setelah transaksi wang berkenaan berjaya dibuat dan wang tersebut telah pun diserahkan kepada ahli sindiket yang menyamar, individu berkenaan akan dihubungi pihak ketiga yang meminta agar sejumlah wang berkenaan dikembalikan dengan alasan transaksi berkenaan telah digodam pihak tertentu.

“Saya telah membenarkan kenalan saya yang dikenali dengan mana Patrick Wong menggunakan akaun syarikat milik saya kerana mendakwa ada pihak yang mahu memasukkan sejumlah wang kepadanya.

“Setelah urusan transaksi berkenaan yang berjumlah USD 118202.50 (RM350,432.75) berjaya dibuat, pihak bank telah menelefon saya untuk memulangkan semula wang berkenaan yang didakwa telah tersalah masuk ke akaun saya,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional (BN) Ipoh Barat semalam.

Aaron berkata, dia juga telah dihubungi beberapa pihak (dipercayai dari luar negara) yang mendakwa sebagai pemilik wang berkenaan serta mendakwa wang berkenaan telah dihantar setelah akaun mereka digodam.

“Mereka juga turut menelefon serta mengugut saya tetapi apabila saya mencabar mereka untuk bersemuka mereka enggan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Ravi Abdullah.

Sehubungan itu, Aaron turut membuat laporan polis dan berharap agar pihak polis dapat bertindak segera mengesan Patrick Wong.

Katanya, dia hanya memiliki satu nombor telefon Patrick, sebelum lelaki berkenaan menghilangkan diri sehingga ke hari ini.

“Saya difahamkan pihak bank masih belum membuat laporan polis berhubung perkara ini dan sebaliknya meminta saya membayar semula jumlah wang berkenaan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Kereta kena baling batu



TAMAN DELIMA – Bunyi letupan kuat secara tiba-tiba menyebabkan seorang pemandu kereta bersama isteri serta tiga anak yang dalam perjalanan menggunakan lebuh raya dari Sik ke Sungai Petani terkejut kerana risau memikirkan berlaku sesuatu ke atas kenderaan mereka itu yang boleh membahayakan nyawa.

Mangsa, Mohd Zabidi Md Zain, 52, dari Taman Delima Sungai Petani berkata, Ahad lalu semasa dia dan keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira jam 3 pagi, mendengar letupan kuat lalu segera memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan untuk membuat pemeriksaan sekiranya ada tayar yang pecah dan meletup.

“Walaupun memeriksa semua bahagian tayar, kami dapati tiada kerosakan dialami namun sebaik sahaja balik semula di tempat duduk, saya dapati cermin kereta retak dan berlubang sehingga serpihan kacanya bertaburan di merata tempat.

“Ada seorang penunggang motosikal datang membantu membersihkan kesan cermin pecah berkenaan yang bertaburan dan menasihati supaya teruskan perjalanan kerana bimbang ada niat jahat pihak tertentu bertujuan menyamun dan sebagainya.

“Kami teruskan perjalanan dan mengikut susur keluar tol Sungai Petani Utara sebelum singgah untuk meminta pertolongan abang ipar,” katanya.

Menurutnya, menyedari seketul batu besar ada dalam kereta, dia berasa ada individu tertentu yang berada atas jambatan di lebuh raya mencampakkannya.

Menurut Zabidi, dia sekali lagi terkejut apabila terlihat percikan darah di seluruh bahagian muka akibat terkena percikan kaca ketika ingin mencuci muka di perhentian tol berkenaan selain luka di lengan kiri dan terus mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim.

Katanya, akibat kejadian itu, dia terpaksa menerima rawatan di hospital dan sudah pun menerima rawatan susulan sebanyak empat kali bagi pembersihan kaca di bahagian mata.

Katanya, ketika kejadian isterinya turut menerima kesan apabila luka di bahagian lengan kanan manakala anaknya berusia 12 tahun luka di lutut.

“Namun mujur anak bongsu berusia empat tahun yang sedang tidur dipangku isteri tidak mengalami kecederaan dan anak perempuan berusia 20 tahun juga tidak alami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira lima kilometer sebelum sampai ke tol Sungai Petani Utara.

Bagaimanapun, katanya, laporan polis sudah dibuat olehnya.

Menurutnya, pendedahan itu dibuat adalah bertujuan supaya orang ramai yang melalui kawasan sama supaya berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang boleh mendatangkan bahaya.
http://www.sinarharian.com.my

'Boleh adik berpuasa?'



KUALA LUMPUR – Ramadan kali ini cukup memilukan bagi dua beradik Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10 apabila masih menanggung kesakitan susulan menjadi mangsa simbahan asid 19 Julai lalu.

Ibu kepada dua kanak-kanak terbabit, Ruhasimah Julaili Mansor berkata, Ramadan kali ini bagai direntap melihat keadaan kedua-dua anaknya yang terpaksa menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh jangka masa yang masih belum diketahui.

Bagaimanapun, menurutnya kesakitan kecederaan yang dialami tidak mematahkan semangat mereka, lebih-lebih lagi Shafiq Aiman untuk menjalani ibadah puasa.

“Adik ada tanya boleh tak jika dia nak berpuasa bulan Ramadan kali ini, tapi saya cakap macam mana nak puasa, adik perlu makan ubat untuk cepat sembuh.

“Dia memang teruja setiap kali menjelangnya Ramadan kerana kebiasaannya akan diberi upah sebagai duit raya oleh atuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Ruhasimah berkata, dia terpaksa menjalani ibadah puasa pada tahun ini di hospital memandangkan kedua-dua anaknya perlu dirawat dalam tempoh waktu tertentu bergantung kepada perkembangan mereka.

Katanya, kedua-dua anaknya kini dalam keadaan stabil dan sudah menjalani tiga pembedahan membuang kulit mati sepanjang seminggu menjalani rawatan di HKL.

“Keadaan kulit muka mereka nampak kemerah-merahan selepas pembedahan membuang kulit mati dilakukan dan sebahagian besar badan Shafiq Aiman yang melecur akan ditampal kulit dari bahagian lain,”katanya.

Sementara itu, berkongsi perasaan berhubung pelaku yang dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan empat sebatan Mahkamah Seksyen 26 Julai lalu, Ruhasimah berkata, dia mahukan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pesalah terbabit agar setimpal dengan apa yang ditanggung anaknya.

Ruhasimah turut bimbang sekiranya pelaku akan mengulangi perbuatan tersebut ke atas orang lain sekiranya dia dibebaskan kelak.

“Apa yang saya harapkan kini agar anak-anak saya dapat sembuh dengan sempurna tanpa kesan yang boleh memberi impak buruk kepada kehidupan mereka akan datang,”katanya.

Difahamkan setakat ini belum ada agensi kerajaan , swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil melawat dan memberi bantuan.

Bagaimanapun, sokongan saudara mara serta jiran sekampung yang datang melawat dan memberikan semangat kepada kedua-dua beradik menempuh kehidupan akan datang.

Dalam pada itu, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata, tempoh masa selama lima ke enam bulan diperlukan sebelum pembedahan plastik dijalankan ke atas dua beradik berkenaan.

Katanya, kos pembedahan akan ditanggung hospital 100 peratus disebabkan mereka pelajar sekolah dan mendapat pengesahan sekolah.

Kedua-dua beradik itu parah selepas menjadi mangsa simbahan cecair asid seorang lelaki ketika menunggang basikal ke rumah rakan untuk belajar secara berkumpulan pada jam 8.30 malam di Felda Kesumba Jengka 9, Maran, Pahang.

Suspek yang juga jiran mangsa menyimbah asid dipercayai cuka getah ke arah mangsa menyebabkan kedua-dua mangsa parah di muka, mata dan badan.
http://www.sinarharian.com.my

12 gajah mengamuk!



GUA MUSANG – Hampir dua minggu kejadian gajah mengamuk di Kampung Star di sini, tetapi ia masih menghantui penduduk setempat sehingga menyukarkan mereka untuk keluar bekerja.

Kebanyakan penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah dan petani masih takut untuk keluar kerana bimbang terserempak dengan sekumpulan gajah yang pernah menyerang salah sebuah kebun milik penduduk setempat.

Penduduk kampung, Zulkifli Seman, 46, kerugian hampir RM20,000 apabila kebunnya diserang sekumpulan 12 ekor gajah menyebabkan dia terpaksa menyara keluarga dengan mengambil upah menoreh getah.

Menurutnya, kebun pisang dan getah seluas lebih kurang tiga hektar yang diusahakan selama tiga tahun ini musnah dalam sekelip mata.

“Saya diberitahu penduduk setempat yang berdekatan dengan kebun tentang keadaan kebun yang diserang sekumpulan gajah pada waktu malam.

“Apabila saya sampai, melihat keadaan kebun yang teruk dan semua hasil tanaman musnah serta tidak mampu untuk melakukan sebarang perkara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Setelu, semalam.

Zulkifli berkata, walaupun tanaman pokok getah masih belum memberi hasil tetapi hasil dari tanaman pisang yang ditanamnya boleh mencecah sehingga RM1,200 setiap bulan.

Katanya, selepas melihat dan meninjau keadaan kebun, dia menghubungi pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan tetapi sehingga ke kini tiada tindakan yang dilaksanakan.

Akibat kejadian tersebut katanya, hampir 300 penduduk di sini masih berada dalam ketakutan kerana bimbang gajah liar berkeliaran di kawasan kediaman serta kebun mereka.

“Saya ada juga terserempak dengan gajah di kawasan ini tetapi tidak pernah berlaku kejadian mengamuk atau serangan gajah ke atas tanaman kami.

“Ini pertama kali yang teruk berlaku dan berharap pihak yang berwajib dalam mengambil tindakan segera sebelum membahayakan nyawa penduduk di sini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Gadis 19 tahun hampir diperkosa



BATU FERINGGHI – Helah seorang lelaki yang meminta bagi menunjukkan arah tandas hampir menyebabkan seorang gadis berusia 19 tahun diperkosa lelaki berhidung belang.

Mangsa yang hanya mahu dikenali dengan nama Nani dari Teluk Bahang itu bekerja di sebuah hotel bajet di Batu Feringghi.

Menceritakan kejadian itu, dia mengenali lelaki berusia 20-an itu sebagai pelanggan tetap hotel di tempatnya bekerja.

Menurutnya, lelaki berkenaan adalah seorang anggota berpakaian seragam. Malam kejadian, lelaki terbabit datang ke hotel itu dan meminta untuk menggunakan tandas hotel.

“Saya kata kami tiada tandas, saya terpaksa layannya berbual memandangkan dia adalah pelanggan tetap kami, kemudian dia minta untuk gunakan tandas di dalam bilik hotel, saya terangkan itu hanya untuk pelanggan yang mendaftar masuk ke bilik sahaja.

“Dia berkeras dengan mengatakan dirinya adalah pelanggan tetap, saya memberinya kunci bilik supaya dia boleh pergi sendiri, namun dia memberi alasan tidak tahu bilik mana satu dan mahu saya membukanya sendiri.

“Dalam hati memang saya tidak mahu tetapi saya fikir positif, setibanya di bilik saya ditolak dari arah belakang,” katanya sambil terhenti-henti kerana sedih mengenangkan saat itu semula.

Nani bertambah takut, tambahan lagi keadaan dalam bilik begitu gelap, ketika dia mahu keluar, lelaki terbabit yang agak tinggi awal-awal lagi sudah menghalangnya.

“Saya menjerit dan cuba kuatkan kudrat, akhirnya saya lepas dan terus bergegas ke bilik bos saya, sementara lelaki itu boleh buat macam tiada apa-apa bila dia keluar.

“Bos saya meminta penjelasan daripadanya namun dia berlalu begitu sahaja, keesokannya saya dan keluarga telah ke pejabat lelaki berkenaan dan memang di hadapan kami ketuanya mengaku yang anak buahnya ada cubaan untuk mengganggu saya.

“Apa yang menjadi kemusykilan pada kami ialah setelah membuat laporan polis dan juga memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukti yang kami ingin kemukakan melalui Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dikatakan hilang secara tiba-tiba.

“Alasannya mereka kata video rakaman hanya bertahan dalam satu hari lebih sahaja sedangkan kami sudah menontonnya dan ada rakaman yang tersimpan dari 22 Julai hingga 25 Julai 2011,” katanya.

Sementara itu kakak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, dia dengan ahli keluarga tidak mengharapkan sebarang ganti rugi atau sebagainya, namun maruah keluarganya sudah tercalar.

Seharusnya lelaki itu datang memohon maaf kepada mangsa dan ahli keluarga memandangkan berita khabar angin yang tidak baik sudah melanda mereka sekeluarga.

“Ada ke patut mereka memberi adik saya RM500 sebagai ganti rugi, begitu mudah bagi pihak hotel dan juga pihak ketua lelaki hidung belang itu buat kami sebegini, bila kami tanya siapa yang berikan RM500 itu masing-masing tidak mengaku dan paling memalukan majikan adik saya menyuruhnya sedekahkan duit berkenaan ke masjid jika tidak mahu terima.

“Itu duit halal atau haram? Tetapi dia mahu kami beri kepada masjid pula, sekarang kedua-dua sama ada hotel atau pihak majikan lelaki berkenaan semuanya hendak menjaga nama, nama baik adik saya siapa yang hendak jaga pula?,” katanya.

Ketika berkunjung ke rumah mangsa, hampir 10 ahli keluarga turut berkumpul berkongsi rasa kecewa mereka terhadap tindakan majikan dan juga pihak majikan lelaki berkenaan.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Balik Pulau, Saniah Abdul Kamal berkata, beliau bersama-sama dengan keluarga berkenaan datang menemui ketua lelaki terbabit.

“Saya datang kerana bimbang jika mereka kata saksi keluarga tidak boleh digunakan memandangkan takut sebelah pihak saja, jadi saya orang luar dan mereka pula ialah orang di kampung saya, saya bertanggungjawab.

“Saya sendiri mendengar pengakuan daripada ketua lelaki berkenaan mengaku sendiri yang anak buahnya ada niat melakukan perbuatan tidak senonoh itu,” katanya.

Sementara itu Nani dalam keadaan kecewa berkata, dia telah berhenti daripada bekerja di hotel itu.

“Sekarang saya duduk di rumah sahaja kerana saya takut, saya tidak dapat bayangkan bagaimana kalau masa dia tolak saya itu saya jatuh atau pengsan, mungkin saya sudah jadi mangsa dia.

“Sekarang saya hanya mahu pembelaan ke atas diri saya, saya mahu dia minta maaf,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Bengkel kereta di Cheras hangus terbakar



KUALA LUMPUR - Sebuah bengkel kereta hangus dalam satu kebakaran di Jalan Batu 9, Cheras, hari ini. Dalam kejadian jam 9 pagi itu, lima buah kenderaan yang dipercayai berada dalam premis berkenaan turut musnah sama sekali.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Syed Lotfi Syed Abdullah, berkata tiada sebarang kecederaan berikutan premis terbabit tidak beroperasi ketika hujung minggu.

"Sebanyak lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam dan tiba 15 minit kemudian sebelum kami mengambil masa selama 30 minit untuk padam api sepenuhnya.
"Ketika kejadian, tiada individu dalam bengkel terbabit kerana premis itu ditutup setiap hari Sabtu dan Ahad," katanya jumlah kerugian masih disiasat dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. - Bernama

Ribut landa PD



PORT DICKSON – Hujan lebat dan angin kuat yang berlaku sekitar kira-kira 11 pagi semalam mengakibatkan banyak pokok tumbang dan menghalang lalu lintas.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pokok tumbang menghempap kenderaan yang di parkir di bawahnya, malah ada yang menimpa rumah dan mengakibatkan kerosakan teruk. Bumbung beberapa rumah dan bangunan banyak diterbangkan angin kuat berkenaan sementara beberapa kawasan rendah juga dinaiki air serta berlaku banjir kilat.

Dalam pada itu, kejadian hujan berterusan hampir dua jam itu mengakibatkan beberapa orang cedera dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abd Wahab Shamsuddin berkata, MPPD mengerahkan petugas terlibat untuk menggerakkan kerja pembersihan terutamanya di kawasan tumpuan ramai seperti jalan raya dan kawasan pantai.

“Petugas daripada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) juga disalurkan untuk membantu mempercepat kerja pembersihan dilakukan MPPD,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Abd Wahab berkata, kerja pembersihan akan dilakukan secara berterusan dan memfokuskan dikawasan tumpuan ramai sebelum masuk ke kawasan perumahan dan perkampungan.

“Kerja pembersihan tidak dapat dilakukan serentak memandangkan kejadian seumpama ini adalah antara terburuk pernah berlaku dan membabitkan kawasan sangat luas di samping kekangan petugas.

“Bagaimanapun, kerja pembersihan akan dilakukan dengan segera bagi menjamin keselesaan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Siti Shamsiah Shaharuddin, 50, yang datang dari Pulau Pinang untuk melihat anaknya tamat latihan pada Majlis Tamat Latihan Perdana Siri 1/2011 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) semalam berkata, dia melihat kejadian bumbung di pentas utama padang kawat kaki Pusasda diterbangkan angin.

“Keadaan sangat kelam kabut ketika itu, masing-masing berlari menyelamatkan diri.

“Beberapa guruh kuat juga menakutkan ramai orang sebelum kejadian pokok tumbang dan menghempap beberapa kenderaan yang di parkir di kawasan padang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga pasar malam di Batu 4, yang hanya mahu dikenali sebagai Azizah berkata, semua kuih-muih untuk dijual diterbangkan angin dan bertaburan di tanah.

“Kejadian berlaku dengan cepat dan tidak boleh berbuat apa-apa, mujur tidak berlaku sebarang kecederaan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Rugi RM350,000



ROMPIN - Sebuah premis barang kemas, dekat sini yang diusahakan hampir 10 tahun mengalami kerugian kira-kira RM350,000 apabila kedai berkenaan dirompak sekumpulan penjenayah bersenjatakan pistol, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.15 petang itu, pemilik kedai berusia 51 tahun sedang bersendirian di kaunter manakala isteri dan anak perempuannya berusia lima tahun berada di dalam sebuah bilik di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, mangsa tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bertopeng menaiki kereta jenis Proton Wira warna kelabu, manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, salah seorang suspek bersenjatakan pistol kemudian mengarahkan mangsa menundudukkan kepala, manakala rakannya memegang tukul.

“Isteri mangsa juga turut diarahkan tunduk ke lantai. Suspek seterusnya memecahkan cermin kaca pameran lalu mengambil sejumlah barang kemas.

“Kejadian itu turut disedari peniaga premis berdekatan dan keempat-empat suspek melarikan diri menaiki Proton Wira berkenaan bersama hasil samun,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Mohd Sabri berkata, kesemua suspek yang berpakaian gelap itu bagaimanapun tidak melepaskan sebarang tembakan dan mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setelah membuat pemeriksaan terhadap kereta berkenaan, didapati ia adalah nombor pendaftaran palsu.

“Kita sedang mempergiatkan usaha memburu semua suspek selain membuat sekatan di beberapa kawasan di daerah ini bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerusi talian 06-4582222 atau balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

12 pelajar nyaris maut



BANDAR SPRING HILL – Seramai 12 pelajar sekolah rendah di Lukut berhadapan dengan kejadian ngeri apabila van sekolah dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Proton Iswara dari arah Seremban di persimpangan Bandar Spring Hill, di sini, kira-kira 6 petang,kelmarin.

Sinar Harian difahamkan selepas dirempuh, van sekolah berkenaan yang dipandu dari arah Spring Hill terbalik.

Kesemua 12 pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut sementara seorang pelajar perempuan berusia lapan tahun patah kaki dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar lelaki berusia 11 tahun masih ditahan di Hospital Port Dickson kerana mengalami patah tangan.

Manakala, pemandu van sekolah berkenaan seorang wanita berusia 40-an cedera di tangan dan pemandu Proton Iswara berusia 20-an luka di kaki.
http://www.sinarharian.com.my

Pemuda maut bergesel lori



KAPAR - Seorang pemuda maut setelah motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori sebelum merempuh rangka kenderaan lain di Jalan Keretapi Lama, Batu 8 Jalan Kapar, di sini, kelmarin

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Mohd Azwan Abd Rahman, 20, berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam maut ditempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintenden Zawary Mahadi berkata, mangsa menaiki motosikal seorang diri hilang kawalan setelah bergesel dengan sebuah lori.

Menurutnya, pergeselan itu menyebabkan mangsa merempuh rangka kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan.

“Rempuhan kuat pada rangka itu menyebabkan mangsa tercampak ke bahagian tengah jalan bersama motosikalnya, mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian, pemandu lori terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.” katanya kepada Sinar Harian.

Zawary berkata, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my

Pura-pura tanya rumah



SETIU – Padah barang kemas. Itulah yang dialami seorang guru wanita berusia 35 tahun apabila dia dilarikan dan disamun oleh empat suspek yang sebelumnya berpura-pura bertanyakan rumah salah seorang penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 hingga 6.30 petang itu menyebabkan guru wanita tersebut mengalami kerugian RM20,000 apabila barang kemas yang dipakainya disamun empat lelaki.

Ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri di rumahnya di Kampung Gong Baloh sebelum didatangi suspek menaiki kereta Perodua Myvi.

“Apabila mangsa tidak mengetahui lokasi yang dimaksudkan suspek, tiga daripada empat suspek masuk semula ke dalam kereta mereka sebelum meninggalkan rumah guru terbabit.

“Tidak berapa lama kemudian, keempat-empat suspek itu datang semula dan terus menarik serta mengangkat mangsa masuk ke dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam kereta, suspek merampas barang kemas yang dipakai oleh mangsa seperti gelang tangan dan rantai.

Mangsa kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan yang jaraknya lebih kurang empat hingga lima kilometer dari rumah.

“Mangsa yang masih terkejut akibat kejadian pantas itu bagaimanapun tidak diapa-apakan oleh suspek,” katanya.

Guru berkenaan kemudiannya membuat laporan di balai polis dan turut memberikan nombor pendaftaran kereta suspek.

“Kami dapati nombor pendaftaran kereta yang diberikan mangsa adalah palsu kerana ia didaftarkan atas sebuah kereta Proton Saga,” katanya.

Rohaizat berkata, taktik yang digunakan suspek sangat licik sehinggakan mangsa tidak mengesyaki apa-apa tindakan buruk akan berlaku kepadanya sebelum itu.

“Suspek seolah-olah memerhatikan gerak-geri mangsa lebih awal berikutan pada waktu tersebut suami mangsa tiada di rumah dan kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh suspek untuk memastikan rancangan mereka berjaya.

“Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasa-tan lanjut bagi mengesan semua suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

GRO remaja rupanya lelaki



MELAKA - Seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) yang dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah pusat hiburan sekitar Taman Melaka Raya, di sini, malam kelmarin rupanya remaja lelaki.

Remaja berusia 23 tahun itu berpakaian seperti wanita dan dikatakan baru berjinak-jinak dengan kerjaya sebagai GRO.

Dia ditahan dalam serbuan dilakukan bersama Bahagian Penguat kuasa JAIM dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sebuah pusat hiburan sekitar kawasan Taman Melaka Raya, di sini.

Ketua Bahagian Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, ketika ditahan, remaja terbabit sedang leka melayan beberapa pelanggan di dalam sebuah bilik khas di dalam pusat hiburan berkenaan.

“Ketika disoal siasat dan diperiksa identitinya, kita dapati remaja terbabit sebenarnya seorang lelaki tetapi berpakaian seperti perempuan dan menjolok mata.

“Dia ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berpakaian kurang sopan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Dalam operasi berkenaan, Rahimin berkata, seramai 15 wanita berusia dari 19 hingga 30 tahun turut ditahan mengikut seksyen sama kerana berpakaian kurang sopan.

Menurutnya, sebanyak enam premis diperiksa di kawasan terbabit sebagai langkah mencegah gejala maksiat menjelang Ramadan.

“Kita kesal kerana seolah-olah sudah menjadi trend remaja yang ditahan mengunjungi pusat hiburan, biarpun kini sudah menghampiri Ramadan.

“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dan kita mengharapkan kerjasama ibu bapa supaya mengawasi anak-anak supaya jangan terjebak dengan gejala ini,” katanya.

Beliau berkata, seramai 25 anggota termasuk kakitangan penguat kuasa MBMB terlibat dalam operasi bermula kira-kira 11 malam dan berakhir kira-kira tiga jam kemudian.

Menurutnya, mereka yang ditahan akan menjalani soal sesi siasat di pejabat JAIM selasa ini.
http://www.sinarharian

Polis buru 4 lelaki culik, samun guru



SETIU 30 Julai - Polis memburu sekumpulan empat lelaki yang disyaki melarikan seorang guru wanita sebelum menyamun mangsa di Kampung Guntung Luar, dekat sini, semalam.
Mangsa yang berusia 35 tahun dikatakan diculik dari rumahnya di Kampung Guntung Luar sebelum dipaksa masuk ke dalam kereta oleh penjenayah terbabit.
Ketika kejadian pukul 6.30 petang, mangsa berada seorang diri di rumahnya, sebelum tiba-tiba didatangi empat lelaki berusia 30-an, menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.
Salah seorang lelaki itu yang berusia 30-an turun lalu berpura-pura mencari alamat seseorang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani berkata, semua suspek kemudian beredar selepas mangsa menyatakan tidak mengetahui individu yang dicari berkenaan.
"Mereka datang semula kira-kira 10 minit dan tiga daripadanya menghampiri mangsa yang berada di halaman rumah lalu mengusung mangsa ke dalam kereta.
"Mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Bintang, kira-kira 6 kilometer dari rumahnya, setelah suspek mengambil tiga utas gelang, seutas rantai dan sebuah telefon bimbit yang kesemuanya bernilai kira-kira RM20,000.
Katanya, sejurus disamun, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibantu orang awam pulang ke rumahnya.
Menurutnya, mangsa bersama suaminya, juga seorang guru telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan pihaknya setakat ini telah mengenal pasti seorang daripada suspek dipercayai turut terbabit dalam beberapa kes serupa sebelum ini.-utusan

Bengkel terbakar, 7 kereta mewah musnah



KUALA LUMPUR 30 Julai - Tujuh buah kereta mewah yang ditinggalkan di sebuah bengkel di Jalan Batu 9 di sini untuk dibaiki antara yang musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel kereta di sini hari ini.
Antara kereta yang hangus pada pukul 9 pagi itu adalah dua jenis BMW dan dua jenis Volvo.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Syed Lotfi Syed Abdullah berkata, pihaknya yang tiba selepas mendapat panggilan kecemasan daripada orang awam mengambil masa selama 30 minit untuk memadam keseluruhan api.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana premis berkenaan tidak beroperasi hari ini.
"Bagaimanapun bomba gagal menyelamatkan kenderaan yang berada di dalam bengkel tersebut kerana api marak begitu cepat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya kini masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik premis.
Difahamkan, kereta-kereta yang musnah dalam kebakaran berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.-utusan

Pelajar, guru diserang lebah

KUCHING 30 Julai - Sekumpulan 20 pelajar dan dua guru dari Sekolah Antarabangsa Lodge yang berkhemah di Kem Permai, Santubong dekat sini, cedera apabila diserang dan disengat ratusan ekor lebah.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, kumpulan terbabit diserang ketika sedang menyediakan hidangan makan tengah hari menyebabkan mereka bertempiaran menyelamatkan diri.
Hampir semua daripada mereka disengat dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, dua pelajar mengalami kecederaan serius apabila disengat di seluruh badan. Salah seorang daripadanya pula menunjukkan tindak balas alergi namun dilaporkan tidak kritikal.
Menurut jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pihaknya menggunakan semburan asap dan mengambil masa beberapa minit untuk menghalau kawanan lebah berkenaan.
"Lebah tersebut dipercayai terganggu dengan asap dan aroma daripada aktiviti membakar ayam 'pansuh' (ayam dalam buluh) kumpulan pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, dua guru pengiring kumpulan berkenaan enggan mengulas kejadian tersebut malah meminta semua pelajarnya supaya tidak memberi sebarang kenyataan kepada pihak media.

23 kru cemas kapal karam





Kapal MV Oceania sebelum karam (kiri) dan mula tenggelam selepas berlanggar dengan kapal MV Xin Tai Hai di kedudukan lapan batu nautika (14.4 kilometer) Barat Daya Pulau Pisang, Pontian, Johor, kelmarin. - IHSAN APMM


JOHOR BAHRU 30 Julai - Seramai 23 kru kapal MV Oceania terpaksa mengharungi detik-detik cemas apabila karam setelah berlanggar dengan kapal MV Xin Tai Hai di kedudukan lapan batu nautika (14.4 kilometer) Barat Daya Pulau Pisang, Pontian di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, semua mangsa terpaksa menyelamatkan diri dengan berhimpit-himpit menaiki dua rakit penyelamat selama dua jam.
Mereka kemudian diselamatkan oleh sebuah kapal dagang MV Ikaruga yang kebetulan melalui laluan tersebut sebelum kesemuanya dibawa ke Singapura.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kedua-dua kapal itu didaftarkan di Malta dan Panama dan dalam perjalanan ke Singapura.
"Berdasarkan maklumat diterima, kapal MV Oceania berada di hadapan MV Xin Tai Hai. Bagaimanapun MV Oceania dikatakan tiba-tiba memperlahankan kelajuan dan menyebabkan MV Xin Tai Hai tidak dapat mengelak lalu melanggar MV Oceania.
"Difahamkan, MV Xin Tai Hai meneruskan pelayaran selepas pelanggaran dan bersauh di kedudukan 1.5 batu nautika (2.7 kilometer) di selatan Tanjung Piai dan kapal MV Oceania pula tenggelam pada pukul 12.30 tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pukul 11.50 malam sebelum menggerakkan dua bot Maritim Malaysia iaitu Petir 51 dan Kilat 18 ke lokasi terbabit.
Tambahnya, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan sebuah bot Maritim Malaysia ditempatkan di lokasi bagi memantau keselamatan kapal-kapal lain yang melalui kawasan berkenaan.-utusan

Pesawat milik Caribbean Airlines terhempas, tiada korban jiwa

GEORGETOWN, Guyana 30 Julai – Sebuah pesawat Caribbean Airlines yang membawa 163 penumpang terhempas dan patah dua ketika cuba mendarat di Guyana hari ini namun tiada kematian dilaporkan.
Pesawat Boeing 737-800 yang tiba dari Trinidad tersebut dikatakan tersasar dari landasan ketika cuba mendarat di lapangan terbang Cheddi Jagan.
“Kami amat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata Presiden Guyana, Bharrat Jagdeo. – Reuters
utusan

17 maut, 21 cedera parah kilang kasut terbakar di Vietnam

HANOI 30 Julai – Kira-kira 17 pekerja maut dan 21 cedera parah selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kilang kasut di utara bandar Haiphong, semalam.
Menurut ketua polis Daerah An Lao, Phan Xuan Lai, kebakaran di kilang yang tidak berlesen itu dipercayai berpunca daripada peralatan pendawaian.
Sementara itu, 10 daripada mangsa merupakan wanita termasuk dua adik perempuan pemilik kilang berkenaan. – AFP
utusan

Risalah wirid antara buku kena rampas

SHAH ALAM: Risalah bertajuk Wirid Amalan Darul Saka, Khifiat Amalan Kerezekian dan Buku Yasin 7 Mubin antara penerbitan yang dirampas dalam serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah premis di Kota Kemuning, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, seorang lelaki berusia 46 tahun yang menggelarkan dirinya Tok Belagak turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Penolong Pengarah Perancangan Strategik, Bahagian Penguatkuasaan Jais, Zaaba Zakaria berkata, pihaknya menahan 49 individu, termasuk seorang dipercayai penceramah dikenali sebagai Tok Belagak.

“Hasil maklumat awam, kami menyerbu premis berkenaan dan ketika serbuan, seorang lelaki yang lebih dikenali sebagai Tok Belagak mengajar peserta berkaitan perubatan Islam untuk rawatan seperti saka, buatan orang dan ‘sakit dalaman’ menggunakan ayat al-Quran.

“Apabila diminta dokumen pentauliahan mengajar, dia gagal menunjukkannya. Setakat ini, siasatan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003,” katanya.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Menurut Zaaba, isteri penceramah berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan dan 13 daripada mereka dibawa ke Pejabat Jais untuk tindakan susulan manakala 36 yang lain, termasuk lima wanita Kursus Asas Rawatan Islam Darul Saka diberi notis supaya hadir memberi keterangan di pejabat Jais Shah Alam.Jelasnya, mereka yang ditahan dibebaskan dengan jaminan mulut dan dikehendaki hadir ke pejabat Jais untuk memberi keterangan.Terdahulu, ketika ditanya Zaaba dalam serbuan di premis itu, lelaki berkenaan mendakwa dia bernaung atas nama Silat Gayung Fatani Malaysia.Laporan muka depan Harian Metro pada 16 Mac lalu memetik, seorang ibu tunggal berumur 56 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti mendakwa bimbang dua anak lelakinya berusia 30-an terpesong akidah Islam sebenar apabila didapati melakukan beberapa amalan pelik selepas didakwa menyertai kumpulan diketuai Tok Belagak itu.-mymetro

Saturday, July 30, 2011

2 tentera dipenggal

MANILA: Militan Islam di selatan Filipina memenggal dua anggota marin negara itu dalam satu serangan ketika pertempuran yang meragut lima nyawa tentera.
Jurucakap tentera laut Filipina, Leftenan Kolonel Omar Tonsay memberitahu wartawan di Manila, kumpulan Abu Sayyaf yang ada kaitan dengan al-Qaeda memenggal dua daripada tujuh anggota marin yang terbunuh dalam pertempuran kelmarin.

“Saya boleh mengesahkan dua. Ia sudah pasti satu perbuatan tidak bertamadun,” katanya ketika ditanya sama ada ada di kalangan anggota marin yang terbunuh itu dipenggal.

Jurucakap tentera di selatan negara itu pula mengesahkan 26 anggotanya cedera dalam pertempuran di Pulau Jolo, kubu kuat Abu Sayyaf.

Laporan awal menyatakan hanya 21 cedera.

Sebelas daripada mereka yang cedera diterbangkan ke hospital tentera di Zamboanga bersama-sama dengan rakan mereka yang terkorban, kata jurucakap tentera di wilayah itu, Leftenan Kolonel Randolf Cabangbang.

Menurutnya, 30 militan juga terbunuh tetapi tidak menyatakan bagaimana pihaknya menentukan jumlah berkenaan.
Katanya, kerajaan belum menemui mayat militan terbabit walaupun tentera berkata ia menguasai kawasan hutan tempat pertempuran berlaku.
Abu Sayyaf diasaskan pada 1990-an menerusi wang yang didakwa diterima daripada rangkaian al-Qaeda yang diketuai Osama bin Laden.
Kumpulan itu dituduh bertanggungjawab terhadap serangan pengganas paling buruk di Filipina.
Ia termasuk memenggal seorang pelancong Amerika Syarikat yang mereka culik pada 2001 dan ramai tebusan warga tempatan lain.
Abu Sayyaf juga terlibat dalam pengeboman sebuah feri di Teluk Manila pada 2004 yang meragut lebih 100 nyawa. - AFP
http://www.hmetro.com.my

Mati rentung dalam wad


KUALA LUMPUR: Seorang pesakit yang mengalami masalah mental rentung selepas bilik rawatan yang menempatkannya di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, terbakar tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, Dedy Mulia Abdul Ghani, 33, seorang warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) sedang dirawat di hospital berkenaan gagal diselamatkan selepas terperangkap di dalam bilik rawatan itu.

Difahamkan, mangsa dikuarantin di sebuah bilik kurungan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) membakar katil menyebabkan api marak tiba-tiba.

Adik mangsa yang dikenali sebagai Dori, 26, berkata, dia bersama adiknya, Ariffin, 25, dibantu anggota polis menghantar abangnya yang mengalami masalah mental sejak tiga tahun lalu ke HKL kira-kira jam 9 malam.

“Selepas melihat abang diletakkan dalam bilik rawatan, saya pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 malam untuk mengambil isteri sebelum dihubungi pengawal keselamatan Unit Kecemasan yang meminta kami datang segera ke hospital.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi terkejut selepas dimaklumkan abang meninggal dunia dalam kebakaran itu,” katanya.


Menurutnya, abang sulungnya itu ada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun dan bekerja sebagai peniaga buah durian sebelum ini pernah dimasukkan ke wad pesakit mental untuk rawatan.

Katanya, dia tidak tahu bagaimana bilik abangnya boleh terbakar kerana sebelum dibawa ke HKL, dia sudah memeriksa dan mendapati tiada alat berbahaya yang dibawa termasuk mancis.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata, anggota bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan jam 12.34 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.

Katanya, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit dan Sentul dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Ketika tiba, wad berkenaan diselubungi asap tebal dan kami mendapati kakitangan hospital sedang berusaha memadam kebakaran sebelum kami mengambil alih tugas berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh setengah jam.
http://www.hmetro.com.my

Tunggu bas dapat bayi


ALOR SETAR: Sepasang suami isteri dipercayai sedang menunggu saudaranya di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, terkejut selepas didatangi seorang wanita sebelum diminta menjaga bayinya kononnya mahu ke tandas.
Dalam kejadian jam 9.25 malam, pasangan suami isteri itu berusia awal 40-an langsung tidak mengesyaki apa-apa sebelum memegang bayi lelaki seberat 1.58 kilogram (kg) berkenaan untuk membantu wanita terbabit.
Difahamkan, bayi lelaki yang baru dilahirkan itu tidak cukup bulan ditinggalkan ibunya kepada pasangan berkenaan apabila dia bertindak menghilangkan diri.

Pasangan itu yang menunggu wanita terbabit lebih sejam akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas wanita itu masih tidak muncul untuk mengambil bayinya tanpa meninggalkan sebarang pesanan.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
http://www.hmetro.com.my

Ugut sebar aib

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej kini trauma apabila bekas kekasihnya yang berusia 22 tahun mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya selepas mereka bertengkar dan berpisah pada 21 Jun lalu.
Mangsa, Phang Khai Mean, 20, berkata, walaupun dia berjaya merampas telefon bimbit serta kad memorinya, dia masih meragui pengakuan bekas teman lelakinya bahawa gambar bogelnya sudah dipadam.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan kekasihnya, Kwan, kerana tidak tahan dengan perangainya yang suka memukulnya serta berperangai panas baran.

“Mulanya hubungan kami baik namun tiba-tiba dia berubah dan pernah menumbuk, menampar serta mencucuh puntung rokok ke tangan saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Biro Pengaduan MCA, di sini semalam.

Selain itu, mangsa mendakwa bekas teman lelakinya itu tidak bekerja dan segala perbelanjaan rumah ditanggungnya.

Phang kemudian mengadu mengenai perkara itu kepada rakan kolej serta pensyarahnya untuk mencari jalan penyelesaian.


Atas nasihat mereka, Phang seterusnya dibawa ke Biro Pengaduan Awam MCA bagi melaporkan kesnya dan turut menghubungi Kwan agar hadir bagi menyelesaikan masalah mereka.Bagaimanapun, Kwan tidak muncul menyebabkan Phang akhirnya membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan terhadap dirinya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau menyerahkan kes itu kepada polis untuk disiasat dan menasihati golongan remaja agar tidak bertindak mengaibkan diri sendiri dengan mengambil gambar bogel.
-.hmetro

Bunuh rakan: Lelaki Indonesia diperintah bela diri


SHAH ALAM: Seorang tukang sapu warga Indonesia diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam terhadap tuduhan membunuh seorang rakannya, di Kampung Pandan, Ampang, empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Marianto Azlan, 37. Mengikut pertuduhan, Marianto bersama-sama empat yang masih bebas didakwa membunuh Firdaus Komari, 37, di kawasan tanah lapang di Lorong Kayangan 3, Kampung Pandan, Ampang, kira-kira jam 7 malam, 21 Januari 2007.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dijatuh hukuman mati mandatori. Akhtar pada penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan saksi-saksi pembelaan konsisten dengan laporan perubatan dan kimia.
http://www.hmetro.com.my

Hukuman jel terhadap Ameng diketepikan


KUALA LUMPUR: Hukuman penjara dua bulan terhadap bekas vokalis kumpulan Spring, Ameng atas kesalahan mengambil ganja pada April lalu, diketepikan Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas mendapati Majistret yang menjatuhi hukuman terhadap Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail , 42, pada 1 November tahun lalu terkhilaf mentafsir Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000. Mohamad Zabidin dalam penghakimannya berkata, denda RM4,000 yang dijatuhkan terhadap penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati itu dikekalkan. “Mengikut seksyen itu, Majistret hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara saja atau denda saja dan bukannya kedua-duanya,” katanya.

Ameng diwakili peguam bela Kamarul Zaman Abdul Rahman.

Terdahulu, Kamarul Zaman berhujah sabitan terhadap Ameng diketepikan atas alasan pihak pendakwaan gagal menyerahkan keputusan laporan ujian pengesanan dadah dalam air kencing.

“Malah, terdapat keraguan yang serius apabila tiada tarikh dicatatkan ketika polis menyerahkan laporan ujian pengesanan dadah dalam air kencing itu,” katanya. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh kemudian berhujah pihaknya ada menyerahkan laporan itu kepada Ameng dan penyanyi itu pun menandatanganinya. Pada 12 Mei tahun lalu, Ameng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan ganja ke dalam badannya ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sentul.
http://www.hmetro.com.my

Remaja maut lumba motosikal curi


SEGAMAT: Seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai berlumba dengan rakannya maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu di Jalan Genuang di sini, 10 Julai lalu.
Lebih memeranjatkan polis, dalam kejadian jam 4 pagi itu, motosikal ditunggang mangsa dipercayai motosikal curi.

Sumber polis berkata, mangsa yang mati di tempat kejadian berasal daripada Batu Anam dan tidak memiliki lesen menunggang motosikal.

“Kejadian yang berlaku berhampiran stesen minyak bermula apabila mangsa dipercayai berlumba dengan seorang rakannya.

“Ketika memecut, mangsa di percayai memandang ke arah belakang untuk melihat rakannya yang tertinggal, akibatnya mangsa hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu itu,” katanya, semalam.

Orang ramai yang melalui jalan berkenaan kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian namun mangsa yang mengalami cedera parah di kepala disahkan mati di lokasi berkenaan.



Rakan mangsa pula dikatakan melarikan diri sejurus kejadian.Mangsa baru tiga bulan pulang ke daerah ini selepas bekerja di Singapura, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangnya dilaporkan hilang di Larkin, tiga bulan lalu,” katanya.
http://www.hmetro.com.my

Pemandu pening rempuh kedai


IPOH: “Saya melihat kereta itu terhuyung-hayang sebelum melanggar sebuah motosikal dan merempuh bahagian hadapan premis berkenaan,” kata Bala, 61, saksi kemalangan berhampiran Balai Polis Buntong, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi di Jalan Sungai Pari itu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang wanita berusia 61 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan kedai menjual bunga.

Mangsa sebelum itu melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki India berusia 35 tahun yang datang dari arah bertentangan menyebabkan penunggang itu patah tangan kanan.

“Saya sedang minum kopi di warung berhampiran apabila melihat kereta berkenaan terhuyung-hayang dan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal dan merempuh kedai berkenaan.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mengenali pemandu kereta berkenaan yang dalam keadaan terkejut. Selepas menenangkan mangsa, dia memberitahu dia pening kepala dan tidak tahu bagaimana kemalangan berlaku,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, penunggang motosikal yang dilanggar kereta berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.


Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan berkata pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
http://www.hmetro.com.my

‘Adik selamat dibedah’


IPOH: “Adik selamat menjalani pembedahan di kepala, tetapi masih tidak sedarkan diri,” kata Fauzi Mokhtar, 25.
Fauzi, abang kepada Fauziah, 24, seorang daripada mangsa kemalangan di Kilometer 201.5, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah selatan pagi kelmarin berkata, adiknya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Taiping (HT), akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badannya.

Kemalangan tragik itu menyaksikan Fauziah kehilangan suaminya, Konstabel Abdul Shahreer Abu Hasan, 24, dan anak lelaki sulung mereka, Mohamad Fariz Daniel, setahun lapan bulan yang terbunuh selepas tercampak keluar daripada bas dinaiki akibat dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan.

Fauzi berkata, doktor menasihatkan ahli keluarga supaya tidak terus memberitahu adik perempuannya mengenai perkara itu dan memberinya masa untuk memulihkan kecederaan.

“Fauziah sudah dibawa keluar dari bilik pembedahan bagi merawat kecederaan parah di kepala dan bahagian otaknya.

“Bagaimanapun, dia belum sedarkan diri dan doktor menasihatkan kami supaya mengelak daripada memberitahu adik nasib suami dan anaknya ,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Selain Abdul Shahreer yang juga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Batalion 5, Simpang Renggam, Johor dan anaknya, Mohamad Fariz, kemalangan kira-kira jam jam 12.25 tengah malam itu turut mengorbankan nyawa dua bersaudara iaitu pemandu treler, A Yogeswara Rao, 25, dan kelindannya, K Supramaniam, 30.
http://www.hmetro.com.my

Intai pelajar


TAMPA (Florida): Dua orang pelajar yang terbabit dalam program pertukaran pelajar Bulgaria-Amerika Syarikat, menelefon polis apabila mereka dapati alat pengesan asap di rumah mereka, sebenarnya kamera tersembunyi.
Terdapat kamera tersembunyi di setiap bilik pelajar termasuk bilik air di mana lensanya dihalakan ke arah pancuran air, di sebuah pangsapuri di Tampa, Florida.
Selama tiga bulan, setiap pergerakan pelajar terbabit mungkin dirakam.

Vanya Amokovarera, 22 tahun, dan Ralitsa Dzhambazova, 23 tahun, dari Bulgaria berkata, mereka merasa takut apabila menyedari ada kamera tersembunyi di apartmen itu, Isnin lalu.



“Saya rasa takut,” kata Vanya kepada sebuah stesen televisyen tempatan.

Katanya dia nampak kamera itu lengkap dengan pita di dalam bilik air, dan terarah ke pancuran air.

“Sungguh menakutkan sekali. Saya tidak sangka perkara ini akan berlaku kepada kawan saya,” kata Ralitsa.

“Kami ke sini untuk mendapatkan pengalaman musim panas dan bekerja di Amerika.”

“Bilik air dan bilik tidur sepatutnya satu tempat peribadi seseorang.”

Pasukan penyiasat sedang mencari orang yang bertanggungjawab yang meletakkan kamera tersembunyi di rumah itu.

Menurut laporan polis di Wilayah Hillsborough, “Pada pandangan mata kasar, kamera tersembunyi itu kelihatan seperti alat pengesan asap.”

“Detektif akan cuba menyiasat sekiranya sistem kamera itu, masih berfungsi.”

Para penyiasat belum dapat pastikan sama ada kamera itu merakam atau ditonton secara terus dari satu lokasi lain. - NYD
http://www.hmetro.com.my