Search This Blog

Tuesday, June 7, 2011

Warga emas mengamuk




CHENUA – Penduduk Kampung Semalin di sini berdepan situasi cemas apabila seorang warga emas mengamuk dengan menggunakan parang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian itu berlaku pada jam 9.45 pagi membabitkan lelaki berusia 50-an yang bertindak di luar kawalan dengan memegang parang dekat rumahnya.

Menurutnya, pasukan polis diketuai Inspektor Mohamad Azri Mohamad Aziz terus bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

“Usaha memujuk dan menahan suspek turut dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat Raub, Polis Bantuan dan orang awam.

“Pada jam lebih kurang 12.45 tengah hari, lelaki itu berjaya ditahan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan tidak mengakibatkan kecederaan kepada orang lain,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, lelaki itu seterusnya dihantar ke Hospital Bentong untuk menjalani rawatan kesihatan.

Katanya, setiap anggota keluarga berperanan memantau tahap kesihatan fizikal dan mental ahli keluarga masing-masing untuk mengelak kejadian seperti itu berulang.

“Sekiranya pesakit mendapat bekalan ubat dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, ahli keluarga perlu memberi perhatian penuh kepada mereka.

“Kita harap perkara seperti ini dapat dibendung dan masyarakat perlu lebih peka dengan perkembangan jiran tetangga terutama mereka yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, masyarakat setempat boleh menyalurkan sebarang maklumat menerusi talian kilat 09-3554999 supaya polis dapat bertindak segera.
SH

No comments:

Post a Comment