Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Sindiket seleweng gas tumpas


SALURAN paip direka secara tersusun bagi menyalurkan gas  di gudang haram di Kampung Raja, Klang.
SALURAN paip direka secara tersusun bagi menyalurkan gas di gudang haram di Kampung Raja, Klang.
KPDNKK Selangor rampas 10,000 tong LPG, peralatan babit RM1.1j

KLANG: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Inilah perumpamaan sesuai bagi sindiket menyeleweng gas masak bersubsidi yang beroperasi di sebuah gudang haram di Kampung Raja, di sini.
Selepas dua tahun menjalankan operasi haram itu di sebalik pagar tinggi yang dipasang zink, kegiatan itu akhirnya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, malam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, bahagian penguat kuasa KPDNKK Selangor merampas 10,000 tong gas petroleum cecair (LPG) dan peralatan memindahkan gas ke dalam tong gas dan lori, bernilai RM1.1 juta.

Penguat kuasa terbabit turut menahan 12 warga asing dan tiga rakyat tempatan bagi membantu siasatan berhubung penemuan gas memasak seberat 14 kilogram (kg) dan gas industri seberat 50 kg itu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang, berkata ketika serbuan, sekumpulan pekerja didapati memindahkan tong gas ke dalam lori yang dipercayai hendak diedarkan di sekitar Selangor.

Katanya, serbuan itu disertai 18 anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNKK dengan kerjasama polis daerah Klang selepas melakukan risikan selama dua minggu sebaik mendapat maklumat orang ramai mengenai penyelewengan gas masak bersubsidi.
Berdasarkan siasatan awal, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu dan lokasinya tersorok kerana ia ditutupi dengan pagar tinggi yang dipasang zink seperti kawasan pembinaan bagi mengelak kegiatan dikesan.

“Melihat kepada sistem pemasangan paip di gudang ini untuk menyeludup gas, kami percaya kegiatan ini dikendalikan oleh mereka yang mahir dan berpengalaman, selain dilengkapi sistem keselamatan yang sistematik.

“Mereka dipercayai menggunakan tujuh pam utama dan kira-kira 400 saluran paip dijalankan serentak untuk menjalankan aktiviti haram ini. Ia begitu tersusun dan dirancang rapi. Pam besar yang ditemui di belakang premis pula dijadikan saluran untuk menyeludup gas ke dalam lori tangki,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Tiga lori serta peralatan untuk memindahkan gas ke dalam tong gas dan lori turut dirampas.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan individu boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Syarikat pula boleh didenda maksimum RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua.

Othman berkata, umur dan status kesemua warga asing yang ditahan itu belum diketahui.

Sepanjang tahun ini, KPDNKK Selangor merampas barangan bersubsidi seperti minyak diesel, minyak masak dan gas memasak bernilai RM3.4 juta.
Berita Harian Online | Sindiket seleweng gas tumpas

No comments:

Post a Comment