Search This Blog

Thursday, June 30, 2011

Sindiket curi kereta tumpas


SHAH ALAM 29 Jun - Polis berjaya mematahkan satu sindiket curi kereta bernilai kira-kira RM400,000 apabila menahan tiga lelaki yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah di dua lokasi berasingan kelmarin dan semalam.

Dalam penangkapan pertama, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun di Seksyen 20 di sini pada pukul 11.30 malam kelmarin manakala seorang lagi suspek berusia 27 tahun ditahan di rumahnya di Tanjung Malim, Perak pada pukul 3.30 pagi keesokannya.

Dengan penangkapan itu, polis menemui semula tiga buah kereta iaitu Toyota Vios, Toyota Estima dan Honda Civic yang masing-masing dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu, Tanjung Malim, Perak (26 Jun) dan Jalan Travers, Bangsar, (16 November 2010).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, penahanan ketiga-tiga suspek itu berdasarkan risikan pegawai dan anggotanya dalam Ops Lejang.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu bertindak sebagai orang tengah yang bertanggungjawab menjual kereta yang dicuri di sekitar Perak dan Selangor sejak setahun lalu untuk dijual di pasaran gelap.

"Dua suspek pertama yang ditahan ketika memandu masuk kereta Toyota Estima dan Toyota Vios ke sebuah stesen minyak berhampiran sebelum meninggalkan Toyota Estima di hadapan sebuah restoran makanan segera.

"Kereta tersebut dipercayai dibawa ke situ untuk diambil oleh pembelinya dan kemudian suspek beredar menaiki kereta Toyota Vios sebelum mereka berjaya dipintas oleh kereta peronda polis.

"Berikutan penangkapan itu, polis membuat lagi satu serbuan di Tanjung Malim dan menahan seorang lelaki di rumahnya serta turut menjumpai sebuah kereta Honda Civic," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.Utusan Malaysia Online - Kota

No comments:

Post a Comment