Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Rakyat kutuk krisis kewangan



Penunjuk perasaan duduk di jalan raya semasa membantah kerajaan di Valencia, Sepanyol, kelmarin. - REUTERS


MADRID 20 Jun - Lebih 100,000 penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Sepanyol semalam untuk mengutuk tokoh perbankan dan ahli politik yang didakwa menyebabkan krisis kewangan sehingga memaksa negara ini melaksanakan pemotongan perbelanjaan yang memeritkan kehidupan rakyat.

Penunjuk perasaan daripada pelbagai peringkat umur yang terlibat dengan sebuah pergerakan bernama 'golongan yang marah' juga memprotes kadar pengangguran yang tinggi dan kegagalan kerajaan membanteras rasuah.

Akhbar El Mundo memetik sumber polis sebagai berkata, seramai 40,000 orang membanjiri jalan di Madrid.

Di bandar raya kedua terbesar Sepanyol, Barcelona, seramai 50,000 orang keluar memprotes manakala beberapa ribu penunjuk perasaan berhimpun di bandar-bandar lain, kata polis.

Penunjuk perasaan berkumpul di beberapa kawasan kediaman di pinggir Madrid awal semalam, sebelum membentuk enam barisan yang berarak ke pusat bandar.

Mereka cuba berhimpun di Parlimen tetapi dihalang oleh polis yang mendirikan sekatan jalan dan menggunakan 12 van untuk menyekat beberapa jalan utama.

Semasa mula menyeru rakyat supaya menyertai protes di seluruh negara, pergerakan 'golongan yang marah' berkata, para pekerja dan penganggur perlu menegaskan mereka akan membantah pemotongan perbelanjaan bagi membantu meredakan krisis ekonomi Sepanyol.

"Bank dan kerajaan yang menyebabkan krisis ini perlu menyedari kami tidak bersetuju dengan langkah-langkah berjimat cermat dan pemotongan bajet, dan kami mahu suara kami didengar," menurut pergerakan itu.

Dalam satu perarakan di Castellana Avenue yang merentasi Madrid, beribu-ribu berarak menuju ke Parlimen, termasuk golongan muda, pesara, penganggur dan ibu bapa yang membawa anak kecil dalam kereta sorong. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment