Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Perhilitan tangkap gajah betina di Bukit Lepan Rambai

MACHANG 20 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini menangkap seekor lagi gajah liar yang dilaporkan memusnahkan tanaman penduduk di beberapa kampung di Mukim Baka dan Cherang Hangus dekat sini.

Pengarahnya, Rahmat Topani berkata, gajah betina dianggarkan berusia 25 tahun seberat 1.5 tan itu ditangkap kira-kira pukul 11.30 pagi oleh sepasukan anggota jabatan tersebut dengan menggunakan tembakan pelali di kawasan Bukit Lepan Rambai.

Katanya, ia merupakan salah seekor daripada sekumpulan lapan ekor gajah yang dikatakan berkeliaran di kawasan tersebut sejak bulan lepas.

"Pada pertengahan bulan lalu, kami telah menangkap seekor gajah jantan berusia 15 tahun seberat dua tan di kawasan berhampiran.

"Minggu lepas kami menghalau seekor gajah jantan daripada kumpulan ini selepas ia merosakkan tanaman penduduk kampung. Gajah jantan itu dipercayai terpisah daripada kumpulannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rahmat berkata, gajah betina yang ditangkap adalah daripada spesies elephas maximus atau gajah Asia dan Perhilitan akan memindahkannya ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dalam tempoh beberapa hari lagi.

Katanya, pada masa sekarang kakitangan jabatan tersebut sedang memantau gajah lain yang masih bebas.

"Saya difahamkan gajah tersebut sebelum ini menjadikan kawasan Hutan Simpan Bukit Baka sebagai habitatnya, namun ia berasa terancam dan masuk ke kawasan kampung kerana aktiviti pembalakan yang berlaku di kawasan itu.

"Saya ingin menasihatkan penduduk kampung supaya tidak mendekati kawasan gajah tersebut kerana ia sangat berbahaya terutama dalam kumpulan tersebut terdapat anak gajah menyebabkan ia lebih sensitif," katanya.

Katanya, kumpulan gajah tersebut pasti akan muncul kerana gajah yang ditangkap adalah gajah betina dan mungkin anaknya akan kembali ke kawasan tersebut untuk menyusu.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment