Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Pencuri mahir elektrik

KUALA LUMPUR: Hanya menggunakan tenaga empat kerat dan sebuah lori, satu sindiket dikesan mengaut keuntungan mudah bernilai jutaan ringgit dengan menjadikan pintu pagar pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa peralatan di dalamnya sebagai sasaran sejak lima tahun lalu.

Dipercayai dilakukan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya asas elektrik, kumpulan berkenaan sanggup menggadai nyawa apabila sanggup menceroboh ke dalam pencawang di sekitar ibu negara dan menutup punca bekalan semata-mata mahu mencuri kabel dan logam untuk dijual di pasaran gelap.


Didalangi individu ‘berkemahiran tinggi’, sindiket itu juga licik menjalankan kegiatan berkenaan apabila memecah masuk pencawang dengan memotong pemasang kunci pintu utama sebelum mencuri fius dan kabel di dalam bangunan terbabit yang mempunyai kekuatan arus sehingga 11,000 volt.

Sumber Bahagian Perkhidmatan Pengguna dan Pemasaran TNB Kuala Lumpur berkata, kegiatan itu dikesan sejak beberapa bulan lalu selepas pemeriksaan pihaknya mendapati pintu masuk di beberapa pencawang sekitar kawasan itu dicuri selain dawai pagar turut dipotong.


“Dalam bulan ini saja, kami merekodkan 65 kes kecurian pintu pagar di sekitar Kuala Lumpur dan kerugian dianggarkan RM130,000 tidak termasuk peralatan lain yang turut dicuri.


“Keseluruhannya, kita anggarkan kerugian yang ditanggung TNB bernilai jutaan ringgit, termasuk kos baik pulih dan menggantikan peralatan hilang,” katanya pada majlis taklimat bersama media di sini, semalam.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati, individu yang memecah masuk ke pencawang TNB itu ‘tahu’ selok-belok kejuruteraan elektrik kerana tindakan berani menutup suis bekalan utama yang biasanya dilakukan pegawai TNB bertauliah saja.

“Kebiasaannya, pegawai yang dibenarkan menutup punca kuasa ini pun akan mengambil sikap berhati-hati kerana ia membabitkan kandungan voltan tinggi yang boleh mengancam nyawa jika tersalah langkah,” katanya.

Beliau berkata, kes kehilangan pintu pencawang mencatatkan 200 kes di sekitar Kuala Lumpur.


Menurutnya, setakat ini TNB mempunyai 6,176 pencawang di sekitar ibu negara dengan semuanya terdedah kepada risiko kecurian. Untuk rekod, katanya, bagi kegunaan biasa di rumah kediaman, pengguna hanya menggunakan sekitar 240 volt dan ia akan menjadi lebih tinggi sekiranya rintangan sedia ada terjejas yang membahayakan nyawa akibat lebihan voltan.


Sebagai langkah segera, katanya, pihaknya membuat rondaan dan pemantauan di beberapa kawasan dengan tumpuan diberikan di pencawang yang kerap berlaku kecurian.


Sementara itu, Pengurus Besar TNB Kuala Lumpur, Kamaliah Abdul Kadir akan mengadakan pertemuan dengan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara ini kerana ia membabitkan orang ramai.


Sehubungan itu, beliau juga meminta orang ramai memberi kerjasama bagi membanteras kejadian seperti ini dengan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terlihat individu mencurigakan di sekitar pencawang.

myMetro | Pencuri mahir elektrik

No comments:

Post a Comment