Search This Blog

Saturday, June 25, 2011

Lesen terbang: Lagi 10 ditahan SPRM

KUALA LUMPUR 24 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengeluaran lesen terbang yang dipercayai turut melibatkan beberapa buah sekolah memandu di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Kesemua mereka bekerja di sekolah memandu dan terlibat sebagai ejen sindiket berusia antara 25 dan 40 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, beberapa lagi siri tangkapan akan dijalankan ke atas sindiket itu yang dipercayai menerima suapan antara RM300 hingga RM400 daripada setiap calon yang bersetuju untuk mendapatkan lesen terbang.

“Seorang daripada mereka yang ditahan telah direman sehingga Isnin depan manakala sembilan lagi masih dalam proses soal siasat,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, SPRM menahan tiga lelaki dipercayai ejen sindiket berusia antara 26 dan 42 tahun di ibu negara kelmarin bagi membantu siasatan kegiatan sindiket pengeluaran lesen terbang.

Calon dipercayai tidak berkeupayaan untuk menduduki peperiksaan kerana sebab-sebab tertentu atau faktor masa. Sindiket itu dikatakan menggunakan ejen sindiket untuk menduduki ujian Bahagian 1 Berkomputer.

Calon tidak perlu menghadiri ujian berkenaan seperti yang disyaratkan oleh pihak berkuasa tetapi mereka dipastikan lulus ujian itu.

Sementara itu, di Putrajaya, Mahkamah Majistret membenarkan SPRM menahan reman seorang kakitangan sebuah sekolah memandu bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran lesen terbang.

Lelaki berusia 45 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi semalam, direman selama empat hari sehingga Isnin depan. Dia tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 4.20 petang diiringi oleh dua anggota agensi berkenaan.

Perintah tahanan reman terhadap rakyat tempatan itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Putrajaya, Sharifah Fazilah Zulkifli mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment