Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Kebakaran banglo disyaki unsur khianat


Tiga rentung. ANGGOTA bomba dan polis mengusung mayat seorang daripada tiga beranak yang rentung dalam kebakaran di Taman Heng Guan, Kuching, semalam.  - Foto Mohd Radzi Bujang

KUCHING: Kebakaran sebuah banglo yang mengorbankan tiga sekeluarga, termasuk seorang bayi lelaki berusia dua bulan di Taman Heng Guan, Matang, di sini, awal pagi semalam, menimbulkan tanda tanya kemungkinan ada unsur khianat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang wanita, Ching Yok Hui, 42, ditemui sedang memeluk cucunya, Wong Kok Liong, di dalam bilik tidur utama, manakala mayat anak perempuannya, Liau Jee Khim, 18, ditemui terbaring di dalam bilik air oleh anggota penyelamat. Semua mangsa rentung sama sekali.

Berdasarkan siasatan awal bomba, kejadian dipercayai berpunca daripada api tempat sembahyang di ruang tamu yang menyambar langsir tingkap menyebabkan mangsa yang tidur gagal menyelamatkan diri melalui pintu utama kediaman yang dipasang penuh jeriji besi.
Bagaimanapun, saksi awal jiran mangsa yang menyaksikan kejadian mendakwa api bermula dari tiga kenderaan jenis Toyota Alphard, Lexus Landcruiser dan Proton Savy di depan rumah.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Abdul Fathul Muen, berkata pihaknya dimaklumkan kejadian pada jam 4.52 pagi sebelum dua jentera Balai Bomba Petra Jaya dan Padungan tiba di lokasi dalam tempoh 15 minit.

“Ketika jentera dan anggota bomba tiba, kediaman mangsa sudah hampir 90 peratus terbakar dengan api dapat dikawal pada jam 5.30 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.22 pagi.

“Kita percaya mangsa cuba menyelamatkan diri, namun gagal berbuat demikian kerana semua tingkap dan pintu dipasang jeriji dengan anggota bomba sendiri terpaksa menggunakan gergaji bagi memasuki rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata pihaknya akan menunggu laporan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai kejadian sebelum melakukan siasatan lanjut.

“Kita tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan jiran. Bomba lebih pakar dalam perkara ini dan mereka sedang melakukan siasatan, termasuk menghantar bahan bukti ke makmal bagi pengesahan.

“Bagaimanapun, polis akan melakukan siasatan, termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa ahli keluarga mangsa sementara menunggu laporan penuh pihak bomba mengenai punca kejadian,” katanya.

Pasukan penyiasat bomba dijangka menghantar rangka tiga kenderaan yang terbakar di pekarangan rumah berkenaan bagi memastikan kehadiran kimia atau bahan tertentu, selain mengambil sampel dari kawasan tempat sembahyang.
Berita Harian Online | Kebakaran banglo disyaki unsur khianat

No comments:

Post a Comment