Search This Blog

Tuesday, June 7, 2011

Kanak-kanak antara 23 Pati ditahan




PADANG BESAR - Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun antara 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar yang ditahan Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) di sempadan sektor Chuping 6 kira-kira jam 7 pagi semalam setelah dikesan menceroboh masuk negara ini melalui satu lubang ‘tikus’.

Ketua Kompani C Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Mejar Ramli Shafie berkata, helah mereka cuba mencerobohi sempadan negara pada awal pagi tidak menjadi apabila perbuatan mereka dikesan subunit dalam tugas serang hendap sejak malam kelmarin.

Menurutnya, kumpulan Pati itu pada asalnya dianggarkan seramai 30 hingga 40 orang, bagaimanapun segelintir daripada mereka berjaya melarikan diri dengan memasuki semula sempadan Thailand sewaktu dikepung subunit berkenaan.

“Antara Pati yang dikenal pasti berjaya melarikan diri adalah bapa kepada kanak-kanak perempuan terbabit apabila anggota kami mengesan dia menangis teresak-esak selepas ditinggalkan keseorangan di kawasan berdekatan pagar sempadan.

“Pati yang ditangkap terdiri daripada lima perempuan dan 18 lelaki yang berusia dalam lingkungan 10 tahun hingga 35 tahun dan kesemuanya dikenal pasti sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Ramli berkata, kesemua Pati itu akan diserahkan ke Jabatan Imigresen Perlis setelah didapati memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah selain mencerobohi pagar sempadan dengan melalui lubang ‘tikus’ yang dipotong dengan alat pemotong dawai.

Menurutnya, tangkapan Pati itu merupakan tangkapan terbesar pihaknya bagi bulan Mei hingga Jun dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat sekiranya aktiviti ini tidak dibendung.

“Pihak kami akan memberi penekanan lebih terhadap pemantauan di lubang-lubang tikus yang dikenal pasti terutama pada waktu bulan terang kerana keadaan ketika itu terang pada waktu malam dan memudahkan pencerobohan Pati.

“Selain itu, kami juga sedang mempertingkatkan usaha menjejaki tekong-tekong darat yang disyaki menjadi alang dalam aktiviti pencerobohan sempadan bagi mengelakkan aktiviti ini berleluasa,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment