Search This Blog

Friday, June 3, 2011

Hantar pulang


JOHOR BAHRU: Semua 17 pendatang asing tanpa izin Indonesia yang terselamat dalam tragedi bot karam di kedudukan 3.5 batu nautika, selatan Tanjung Ayam, Perairan Pengerang di sini, awal pagi kelmarin, sudah dihantar pulang ke Pulau Batam, Indonesia.
Penolong Pengarah Imigresen Negeri Johor, Masri Adol berkata, misi menghantar pulang mangsa dijalankan selepas perbincangan dengan pihak Kedutaan Indonesia, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

“Kiami sudah meneliti laporan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan menjalankan siasatan lanjut terhadap mangsa yang selamat.

“Apa yang pasti, kami mendapat maklumat semuanya memang diseludup keluar dari perairan negara menuju ke Pulau Batam dengan bayaran kira-kira RM750 seorang.

“Namun, atas dasar perikemanusiaan dan mengambil kira kejadian ini membabitkan kemalangan nyawa, kami membuat keputusan menghantar mereka pulang,” katanya.


Menurut Masri, pihaknya bersetuju dengan laporan APMM berkaitan ‘laluan tikus’ yang wujud di beberapa lokasi sekitar perairan Pengerang.

“Saya setuju dengan APMM kerana memang ada laluan tikus, pemantauan di lokasi terbabit sentiasa berjalan, namun yang menjadi masalah adalah sikap pendatang asing itu sendiri.

“Mereka berani melakukan apa saja termasuk memilih jalan bahaya untuk keluar masuk ke negara ini berbanding menggunakan laluan selamat dan sah,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan tindakan Jabatan Imigresen menghantar pulang mangsa terbabit, Masri berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan kedua-dua pihak.

“Sukar untuk mengulas lanjut tetapi kita memilih untuk menghantar mereka pulang selepas mendapat persetujuan bersama dengan pihak Kedutaan Indonesia. “Kita perlu bertindak wajar kerana kes ini membabitkan nyawa penumpang,” katanya.


Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, 17 Pati Indonesia selamat, manakala tujuh lagi masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak besar.


Ia berlaku ketika bot kayu membawa 24 penumpang lelaki termasuk tekong dalam perjalanan keluar dari laluan tikus di Sungai Rengit ke Pulau Batam.

myMetro | Hantar pulang

No comments:

Post a Comment