Search This Blog

Tuesday, June 7, 2011

Enjin keluar percikan api




MUAR – Seorang mekanik nyaris maut apabila bot yang sedang dibaikinya terbakar secara tiba-tiba akibat percikan api daripada enjin bot yang diselenggara itu dalam kejadian kebakaran bot di Jeti Kelab Sosial Persisiran Maharani Muar di sini, semalam.

Bagaimanapun, mekanik yang berusia 42 tahun itu hanya mengalami kecederaan kecil iaitu melecur di bahagian tangan dan rambutnya terbakar kerana cuba memadamkan api tersebut tetapi gagal.

Pemilik bot berkenaan, Sallehuddin Othman, 59, berkata, dia telah mengupah mekanik tersebut untuk membaiki botnya yang rosak sejak dua hari lalu.

Menurutnya, bot tersebut digunakan sendiri ataupun disewakan kepada pelanggan untuk aktiviti riadah seperti memancing.

“Ketika kejadian jam 3.45 petang, mekanik ini dipercayai sedang menyelenggara bot untuk memasukkan minyak penapis.

“Ketika sedang leka memasukkan minyak ini, secara tiba-tiba keluar percikan api daripada enjin bot,” katanya kepada Sinar Harian.

Rentetan itu menyebabkan percikan api bertukar menjadi besar dan kemudiannya marak membakar keseluruhan bot.

“Pada mulanya, mekanik saya cuba untuk memadamkan api tetapi gagal sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.

“Saya bersyukur kerana ketika kejadian tiada penumpang lain yang turut berada dalam bot ini dan mekanik terselamat meskipun mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Difahamkan, Sallehuddin mengalami kerugian sebanyak RM75,000 akibat daripada insiden yang berlaku itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.52 petang.

Menurutnya, seramai 12 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan itu.

“Pihak bomba mengambil masa kurang daripada tujuh minit untuk memadamkan kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment