Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Doktor minta suapan cuti sakit diberkas


SETIAP hari selepas keluar rumah untuk ke tempat kerja, Yunus (bukan nama sebenar) akan memandang ke arah sebuah rumah tiga tingkat yang telah diubahsuai dengan rekaan terkini milik rakan baiknya, Amri.

Persahabatan yang bermula sejak bersama-sama mengikuti pengajian dalam bidang perubatan semakin erat setelah kedua-duanya membeli kediaman di kawasan yang sama.

Bagaimanapun, Yunus yang bekerja sebagai pegawai perubatan di jabatan kerajaan hanya memperoleh gaji bulanan sekadar mencukupi untuk menyara hidup isteri dan empat anaknya.

Dengan gaji sebanyak itu, Yunus tidak mampu mengubah suai kediaman yang didiami sejak 15 tahun lalu atau menukar kereta kepada yang lebih selesa untuk keluarganya.

Perasaan cemburu mula singgah di hatinya tatkala melihat Amri menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada isterinya sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka.

Pada satu hari, Amri menghubungi Yunus menawarkan jawatan doktor sambilan di sebuah klinik yang baru dibuka di kawasan berhampiran kediaman mereka.

Dengan hati yang gembira, Yunus menerima tawaran itu dan bercita-cita untuk mendapat sebuah kediaman impian dan mewah seperti rakannya itu.

Hampir setiap hari Yunus meninggalkan hospital satu atau dua jam lebih awal untuk bekerja lebih awal di klinik Amri.

Setiap hari pula, ramai pesakit yang datang mendapatkan rawatan malah ada yang hanya datang mengambil cuti sakit sahaja.

Yunus telah mengenakan bayaran yang tinggi sehingga RM50 bagi sehari cuti sakit sehingga pada satu hari, kegiatannya berjaya dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Impian Yunus untuk membina sebuah kediaman impian musnah selepas ditahan SPRM di klinik berkenaan atas aduan dia meninggalkan tugas untuk melakukan pekerjaan lain dalam masa yang sama dan melanggar etika perubatan kerana meminta suapan bagi mengeluarkan cuti sakit tanpa pemeriksaan.

Kes Yunus dirujuk kepada Lembaga Tatatertib dan akhirnya dibuang kerja. Kejadian yang menimpa Yunus ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengambil rasuah ketika bertugas.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment